
Isu moral yang membabitkan tangkapan khalwat ke atas pemimpin parti Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, dijangka menjadi beban kepada kesemua 15 calon parti itu yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berkata walaupun Nik Nazmi direhatkan daripada sebarang aktiviti politik parti selama tiga bulan, isu itu tetap menjejaskan corak strategi kempen Bersama.
Menurutnya, jumlah kehadiran penyokong dalam ceramah juga mungkin berkurang.
Isu khalwat kekal di minda pengundi
Muhammad Ariff berkata, pimpinan lain mungkin cuba mengalihkan perhatian dengan menekankan agenda lain, termasuk skandal mafia korporat. Namun, topik tangkap khalwat Nik Nazmi tetap terpahat di minda pengundi.
“Buat masa ini, adalah lebih baik Bersama menjalani tempoh bertenang dan bermuhasabah mengenai apa yang diperjuangkan parti itu, kerana imej pimpinan parti telah tercemar dengan teruk sehingga meningkatkan potensi calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bersama sebelum ini mengumumkan 15 calon bagi menghadapi PRN Melaka. Pengumuman itu dibuat pengasas bersama parti, Rafizi Ramli, pada satu majlis di Batu Berendam.
Pekemas gesa Nik Nazmi berundur
Sebelum ini, Naib Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Shahrizan Ramli, berkata Nik Nazmi seharusnya berundur sepenuhnya daripada dunia politik selepas namanya dicemar kes ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ujar Shahrizan, pendekatan Bersama merehatkan Nik Nazmi selama tiga bulan telah memberi gambaran yang salah kepada pemimpin masa depan, terutama anak muda.
Integriti tentukan kebangkitan pemimpin
Mengulas lanjut, Muhammad Ariff berkata politik di Malaysia lebih mementingkan isu moral berbanding hal lain.
Katanya, tanpa integriti yang kukuh, mana-mana pemimpin akan tersungkur dengan mudah dan mengambil masa yang lama untuk kembali kuat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.