
Negeri SG4 terbuka menjadi perintis bagi kajian penggunaan teknologi nuklear baharu seperti reaktor modular kecil (SMR) di Malaysia sebagai alternatif penjanaan tenaga pada masa depan, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, penggunaan reaktor nuklear berskala kecil wajar dipertimbangkan berbanding loji janakuasa nuklear berskala besar, memandangkan potensi teknologi itu dalam memenuhi keperluan tenaga negara.
Bukan loji nuklear besar seperti Fukushima
Bercakap pada SG4 Business & Economic Forum 2026, Samsuri berkata tenaga nuklear kini menjadi topik yang hangat diperkatakan.
“Bagaimanapun, apa yang kita bincangkan bukanlah loji tenaga nuklear berskala besar seperti Fukushima,” katanya.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau pernah melawat sebuah stesen janakuasa nuklear di luar negara dan melihat sendiri saiz reaktor serta kemudahan berkaitan. Lawatan itu memberi gambaran kepada beliau tentang skala pembangunan teknologi berkenaan.
“Jika saya boleh mencadangkan sesuatu untuk Malaysia, saya fikir kita patut melihat kepada penggunaan reaktor nuklear berskala kecil. Reaktor jenis ini sememangnya menghasilkan tenaga dalam jumlah lebih kecil,” katanya.
Samsuri turut menegaskan keterbukaan itu tidak terhad kepada SG4 (Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis), malah merangkumi bahagian lain di Malaysia sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU16.
Negeri mahu ruang lebih tentukan keutamaan
Dalam pada itu, Samsuri berkata kerajaan negeri perlu diberi kuasa lebih besar untuk menentukan keutamaan pembangunan infrastruktur masing-masing, bukan hanya bergantung kepada keputusan Putrajaya.
Menurutnya, perbezaan antara keutamaan kerajaan persekutuan dan negeri menimbulkan cabaran dalam mendapatkan sokongan bagi projek yang dianggap penting oleh pentadbiran negeri.
“Saya fikir inilah antara isu utama yang sedang kita hadapi dalam hubungan dengan kerajaan persekutuan. Ada kalanya perkara yang menjadi keutamaan kita, tidak menjadi keutamaan mereka,” katanya.
Beliau berpandangan isu itu perlu diselesaikan melalui penambahbaikan hubungan antara kerajaan negeri dengan persekutuan.
“Kerajaan negeri perlu diberikan lebih banyak ruang untuk menentukan sendiri projek yang patut diberikan keutamaan, bukan segala-galanya ditentukan kerajaan persekutuan,” katanya.
Samsuri berkata, perkara itu antara aspek yang diharap boleh diubah jika gabungan politiknya berjaya menawan Putrajaya selepas PRU16.
“Dengan itu, kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak kebebasan untuk membuat keputusan sendiri (membangunkan negeri),” katanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim tunggu kelulusan
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, berkata cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sedang menanti kelulusan Putrajaya.
Beliau berkata, enam daripada lapan syarat yang ditetapkan Majlis Perancang Fizikal Negara telah dipenuhi. Antara syarat yang belum dipenuhi membabitkan lesen pengendali aerodrom (AOL).
“Tiada garis masa (ditetapkan untuk kelulusan projek itu). Jika mereka (kerajaan persekutuan) tidak meluluskannya, maka ia tidak akan berlaku,” katanya.
Sanusi menambah, satu-satunya halangan ketika ini ialah proses kelulusan oleh Putrajaya, memandangkan pelabur sudah bersiap sedia.
Jika Putrajaya tidak meluluskan projek itu sekarang, katanya, Kedah perlu menunggu selepas PRU16 dengan harapan kerajaan persekutuan diambil alih gabungan lain supaya projek berkenaan dapat direalisasikan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.