
Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik GB Daily Glow Skin Cream selepas dikesan mengandungi racun berjadual dan merkuri.
Produk itu tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.
KKM memaklumkan merkuri dilarang dalam kosmetik kerana boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan.
“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” menurut KKM dalam kenyataan.
Orang awam digesa henti guna
Susulan itu, KKM menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan kosmetik berkenaan.
“Orang awam yang sedang menggunakan kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dan senarai kosmetik yang telah dibatalkan, dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my,” menurut kenyataan itu.
Penjual dan pengedar perlu henti jualan
KKM turut memaklumkan bahawa penjual dan pengedar kosmetik terlibat perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk itu dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” menurut kenyataan itu.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, denda maksimum ialah RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.