
Logo PAS dilihat sebagai pilihan paling praktikal untuk digunakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, sekiranya penggantungan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berterusan, kata penganalisis.
Bagaimanapun, mereka berkata penggunaan logo bulan itu mempunyai risikonya, terutama dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu dan di kawasan campuran.
Setiap pilihan lambang ada kekangan
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata isu penggantungan PN meletakkan parti komponennya dalam keadaan rumit, kerana setiap pilihan lambang mempunyai kekangan tersendiri.
Katanya, jika PAS memilih bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN), ia boleh menimbulkan persoalan mengenai hubungannya dengan komponen PN lain. Ia juga memberi implikasi kepada urusan pencalonan kerana watikah calon akan ditandatangani Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, logo PAS lebih dikenali berbanding parti komponen lain. Namun, penggunaannya di luar negeri yang menjadi kubu tradisi parti itu, seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, boleh menimbulkan cabaran.
“Di negeri lain mereka guna logo PN kerana agak sensitif menggunakan lambang PAS ini kerana dilihat agak ekstrem. Tambahan pula, bukan Melayu melihat lambang PAS ini berkait dengan Islam,” katanya kepada FMT.
Mazlan berkata keadaan itu turut menimbulkan persoalan sekiranya calon Gerakan atau Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bertanding menggunakan logo PAS, kerana ia boleh memberi persepsi bahawa mereka terlalu rapat dengan agenda parti itu.
Pada masa sama, logo parti lain dalam PN tidak mempunyai tahap pengenalan yang sama dalam kalangan pengundi.
“Nak guna logo Gerakan, orang Melayu tak kenal. MIPP pula lagi pengundi tak kenal. Adakah lambang Wawasan? Ia masih baharu, rakyat belum serasi.
“Saya fikir buat masa ini logo yang dikenali ialah PAS. Pilihan terbaik walaupun ada beberapa kekurangan,” katanya.
Gerakan tolak logo lain
Mazlan mengulas gesaan Presiden Gerakan, Dominic Lau, supaya semua parti komponen PN menggunakan satu simbol tunggal pada PRN Melaka sekiranya penggantungan gabungan itu berlarutan.
Lau turut menepis cadangan mana-mana parti komponen bertanding menggunakan logo lain, susulan laporan memetik Zahid sebagai terbuka untuk membincangkan kemungkinan PAS menggunakan simbol ‘dacing’.
JPPM menggantung sementara aktiviti PN berkuat kuasa 23 Sept lalu susulan aduan Bersatu. Gabungan itu perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan agensi berkenaan.
Logo Gerakan sesuai untuk kerusi campuran
Afifi Abdul Razak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, dari sudut pragmatik, logo PAS mungkin menjadi pilihan paling logik bagi kawasan majoriti Melayu jika PN kekal digantung.
Bagaimanapun, katanya, lambang Gerakan mungkin lebih sesuai digunakan di kerusi campuran atau bukan Melayu, walaupun kekuatan jentera dan tahap pengenalan parti itu perlu diambil kira.
Afifi berkata parti lain seperti Wawasan masih baharu kepada pengundi Melaka, manakala Pejuang dan MIPP lebih kecil serta kurang dikenali.
“Kalau seragam mutlak, PAS memberi nilai undi tertinggi, tetapi tidak memenuhi syarat lambang nasional yang diterima pelbagai kaum,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.