
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, akan meletak jawatan jika terbukti dirinya menyesatkan orang susulan dakwaan penglibatannya dalam ajaran New Age Movement (NAM).
Beliau turut mencabar pihak yang membuat dakwaan itu supaya tampil menunjukkan bukti di mahkamah.
“Saya letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang, betul-betul ada orang yang saya sesatkan. Buktikan di mahkamah,” katanya selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Maka.
Enggan ulas pertemuan dengan Jakim
Mengulas pertemuannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Marhamah berkata agensi itu sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan.
“Saya tak boleh ulas. Doakan semoga Allah jaga kita semua,” katanya.
Nafi dakwaan, beri tempoh 24 jam
Pada 18 Sept lalu, Marhamah menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Beliau memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan itu untuk menarik balik kandungan berkenaan serta memohon maaf.
Pejabatnya dilaporkan berkata, tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 Sept 2019 yang menjadi pertikaian itu dibuat dalam konteks pembangunan insan, bukan sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu yang dirujuk.
Pejabat itu menegaskan Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu terbabit.
Marhamah juga dinafikan pernah mengajar, mempromosi atau menyebarkan amalan yang didakwa.
Jakim jalankan siasatan menyeluruh
Ahad lalu, Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, dilaporkan berkata agensi itu menjalankan siasatan menyeluruh.
Siasatan tersebut termasuk sesi pertemuan dan tabayyun dengan Marhamah bagi mendapatkan penjelasan secara langsung.
Ia turut membabitkan mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah Jakim serta pihak berkaitan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.