
PAS bersedia menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, rundingan termasuk penggunaan lambang dan kerjasama dengan BN masih diteruskan. PAS juga sedia menimbangkan sama ada menggunakan lambang sendiri atau BN, bergantung kepada hasil rundingan.
“PAS belum membuat keputusan termasuk jumlah kerusi dan penggunaan lambang, rundingan masih diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila hari ini.
Perbincangan lambang dengan BN
BN dilaporkan akan membincangkan keperluan penggunaan lambang dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbincangan bersama akan dibuat dan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Sebelum ini, pada 23 September lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS digantung mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), berkuat kuasa serta-merta susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September lalu.
Perintah penggantungan itu bertujuan meminta PN memberikan penjelasan terhadap aduan BERSATU kepada jabatan berkenaan, dan bukannya keputusan pembatalan pendaftaran gabungan terbabit.
Terpulang kepada BN, PH mesti tewas
Diminta mengulas jika BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perkara itu terpulang kepada BN.
Menurutnya, paling utama dan penting ialah PH tewas pada PRN Melaka.
“Terpulang kepada BN, tetapi kita akan berusaha memastikan PH tewas pada PRN Melaka. Paling penting, Melaka diterajui pimpinan Islam dan Melayu,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kebanyakan kepimpinan BN bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.