
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan berikutan kekalahan parti itu di dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk Chennah yang dipertahankannya sendiri.
Beliau mengumumkan pengunduran ini pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, malam tadi.
Sebelum ini, Loke pernah menyatakan beliau akan mempertimbangkan untuk berundur sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan sekiranya tewas di Chennah.
Tewas di Chennah, tamat khidmat tiga penggal
Loke tewas di Chennah kepada calon MCA, Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi pada Sabtu lalu, sekali gus menamatkan khidmat tiga penggalnya di kawasan itu.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ADUN Lobak dari 2004 hingga 2013, sebelum mewakili Chennah bermula 2013. Loke turut kekal sebagai Ahli Parlimen Seremban selama tiga penggal.
CEC mahu Loke kekal Setiausaha Agung
Hadir sama pada sidang media malam tadi ialah Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, dan Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Gobind memberitahu pemberita bahawa CEC sebulat suara mahu Loke kekal sebagai Setiausaha Agung parti itu.
Beliau turut mengumumkan Kongres DAP akan diadakan pada 16 Ogos, di mana usul sama ada DAP kekal atau tidak dalam kerajaan akan dibentangkan kepada para perwakilan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.