
Perodua mengumumkan pengurangan harga bagi model Axia, kenderaan kompak paling mampu milik di negara dan menjadi pilihan mobiliti utama rakyat, sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta.
Pengurangan harga ini dibuat berikutan peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat, selain usaha Perodua mengukuhkan komitmennya membantu pelanggan menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad, berkata harga baharu ini adalah antara usaha berterusan syarikat untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E, serta pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Senarai harga baharu Axia
Bagi Semenanjung Malaysia, Axia 1.0G yang sebelum ini dijual pada harga RM38,600 kini diturunkan sebanyak RM4,700 kepada RM33,900. Axia 1.0X yang asalnya berharga RM40,000 diturunkan RM1,500 kepada RM38,500.
Sementara itu, Axia 1.0SE yang asalnya berharga RM44,000 diturunkan RM1,000 kepada RM43,000, manakala Axia 1.0AV yang dijual pada harga RM49,500 diturunkan RM500 kepada RM49,000.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, model Axia 1.0G yang berharga RM40,600 diturunkan sebanyak RM4,700 kepada RM35,900. Axia 1.0X yang dijual pada harga RM42,000 diturunkan RM1,500 kepada RM40,500.
Axia 1.0SE pula diturunkan harga sebanyak RM1,000 menjadi RM45,000, manakala Axia 1.0AV diturunkan RM500 daripada RM51,500 kepada RM51,000.
Harga di atas tidak termasuk kos insurans.
Kualiti kekal, kos operasi diperbaiki
Zainal Abidin menjelaskan bahawa kesemua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah, dan penjimatan yang diperoleh adalah sepenuhnya hasil daripada penambahbaikan proses serta kecekapan operasi syarikat.
“Pengurangan harga yang dibuat ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan mampan, serta kerjasama baik dengan pembekal dan rakan kongsi kami dalam ekosistem automotif.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama, bukan sahaja pemain industri tetapi juga seluruh rakyat.
“Harga baharu ini adalah antara usaha berterusan kami untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat,” jelasnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.