
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) mesti mengambil keputusan tegas mengenai hala tuju ideologi gabungan tersebut, sama ada mahu berpaksikan reformasi atau konservatif, kata penganalisis politik.
Oh Ei Sun dari Pacific Research Centre of Malaysia berkata, gabungan yang membina jenama sebagai entiti berteraskan reformasi itu tidak lagi mampu berada di atas pagar, sambil memetik insiden lalu di mana PH didakwa mementingkan kelompok kanan Melayu.
Beliau berkata, kesuraman prestasi pilihan raya PH yang bermula di Sabah, kemudian disusuli Johor dan Negeri Sembilan, bukanlah suatu kebetulan.
Perlu muhasabah kendiri
“Muhasabah kendiri yang amat mendalam perlu dibuat. Sebagai contoh, mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan tapak sokongannya dan tidak membiarkan penyokong tawar hati,” kata Oh.
“Mereka kena pilih, sama ada mahu menjadi reformis atau konservatif,” katanya kepada FMT.
Oh berkata, keputusan pilihan raya Negeri Sembilan dan Johor pada Julai lalu menunjukkan penyokong tegar PH semakin beralih arah, sama ada tidak keluar mengundi atau menyokong pihak lawan. Menurutnya, PH tidak lagi boleh menganggap mana-mana kerusi sebagai selamat, termasuk kawasan kubu kuat di Pulau Pinang, Selangor, dan Kuala Lumpur.
Sebelum ini, kerajaan persekutuan pimpinan PH pernah dituduh membelakangkan identiti progresifnya demi merangkul sokongan lebih besar orang Melayu, iaitu segmen pengundi yang sentiasa sukar diraih oleh gabungan itu.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan perjuangan PH belum membuahkan hasil, apabila kerjasama tidak rasmi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi majoriti Melayu, sekali gus meraih kemenangan bergaya dengan majoriti dua pertiga.
BN-PN turut berjaya merampas dua kubu kuat DAP, iaitu Chennah dan Repah, sekali gus mencerminkan penurunan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap PH.
PH mula menguasai Negeri Sembilan pada 2018 selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi, selain meraih 53 peratus undi popular. Gabungan itu mengekalkan penguasaannya di negeri berkenaan apabila bekerjasama dengan BN pada 2023, di mana mereka secara kolektif memenangi 31 kerusi.
Polarisasi kaum kian ketara
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, PH kini mesti belajar menangani polarisasi etnik seperti yang dilihat dalam PRN Negeri Sembilan, yang dijangka akan terus berlanjutan pada pilihan raya mendatang.
“Di satu pihak, ramai pengundi bukan Melayu tidak berpuas hati dengan apa yang telah dicapai PH setakat ini, terutamanya membabitkan reformasi, manakala di satu pihak lagi, ramai orang Melayu kekal berpegang kuat kepada sentimen anti-DAP,” katanya.
Azmil turut berkata, isu berasaskan kaum di peringkat nasional seperti kuil Hindu yang tidak berdaftar serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina membayangi pencapaian kerajaan negeri yang diterajui Aminuddin Harun.
Bagi PH, keputusan PRN berkenaan merupakan petanda awal kepada perkara yang mungkin berlaku sekiranya gabungan tersebut tidak melakukan perubahan substantif. “Nampaknya, masa semakin suntuk untuk PH,” katanya.
PH memenangi 11 kerusi pada PRN Negeri Sembilan, manakala BN memperoleh 18 kerusi dan PN tujuh kerusi. Pemimpin utama PH, iaitu Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook serta Aminuddin yang juga naib presiden PKR, turut tumpas di kerusi yang ditandingi masing-masing, iaitu di Chennah dan Linggi.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari, memberi alasan bahawa retorik perkauman yang digunakan oleh pihak lawan sepanjang dua minggu berkempen menjadi punca kekalahan tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.