
Warisan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tular di media sosial yang mendakwa parti itu telah memutuskan untuk menarik diri daripada kerajaan perpaduan.
Setiausaha Agung parti itu, Loretto S Padua Jr, berkata kenyataan tersebut merupakan satu lagi bentuk fitnah jahat yang sengaja direka bagi memburuk-burukkan imej parti.
“Pihak tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja tergamak menabur fitnah, malah berani memalsukan dokumen parti seolah-olah ia merupakan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh saya,” katanya menerusi satu kenyataan, lapor Bernama.
Dokumen disahkan palsu
Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohammad Yusof Apdal, dalam kenyataan berasingan turut mengesahkan bahawa dokumen bertajuk “Parti Warisan Menarik Diri daripada Kerajaan Perpaduan” itu adalah palsu.
Ahli Parlimen Lahad Datu itu menegaskan, sebagai wakil Warisan dalam kerajaan persekutuan, tiada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti berhubung perkara tersebut.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpedaya atau menyebarkan dokumen palsu yang bertujuan mengelirukan rakyat serta mencetuskan spekulasi,” katanya.
Mohammad Yusof turut menegaskan, sebarang pendirian atau keputusan rasmi Warisan akan disampaikan menerusi saluran komunikasi rasmi parti dan pimpinan yang diberi mandat sahaja.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.