
Kylian Mbappe menjaringkan gol menerusi sepakan penalti bagi membantu Perancis mengharungi cuaca panas terik serta pertahanan tegar Paraguay untuk menewaskan pasukan itu 1-0, sekali gus melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia menentang Maghribi semalam.
Kapten Perancis, Mbappe menjaringkan gol pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti bagi mengatasi pertahanan agresif Paraguay dalam keadaan cuaca membahang di Lincoln Financial Field, Philadelphia.
Gol berkenaan merupakan gol ketujuh Mbappe pada kejohanan ini, menyamai pencapaian penyerang Argentina, Lionel Messi dalam perebutan gelaran Butang Emas.
Paraguay yang mencipta kejutan besar di pusingan 32 terbaik dengan menyingkirkan juara empat kali, Jerman menerusi sepakan penalti, berjaya menyukarkan Perancis untuk tempoh yang agak lama menerusi pertahanan berdisiplin tinggi.
Namun kemasukan pemain gantian, Desire Doue menggantikan Bradley Barcola pada minit ke-61 membuka jalan kepada gol yang dinanti-nantikan.
Pemain Paris Saint-Germain itu memecah masuk dari kiri sebelum menjolok laluan melepasi beberapa pemain Paraguay, sebelum dijatuhkan oleh Diego Gomez di dalam kawasan penalti.
Wasit Ilgiz Tantashev pada mulanya membenarkan permainan diteruskan, namun selepas rujukan VAR, pegawai berkenaan segera mengesahkan penalti kepada Perancis.
Mbappe kemudian tampil sebagai penjaring dengan sepakan tenang bagi memastikan kemenangan Perancis dalam suhu kira-kira 38 darjah Celsius ketika gelombang panas melanda timur laut Amerika Syarikat bersempena sambutan cuti 4 Julai.
“Kami sedar jenis perlawanan yang bakal kami hadapi, tetapi saya rasa hari ini kami mengharunginya dengan baik,” kata Mbappe selepas perlawanan yang agak panas itu turut menyaksikan tiga pemain Perancis menerima kad kuning.
“Mereka menyangka kami akan tampil bak berpakaian tuxedo, hanya datang untuk mempamerkan aksi hebat semata-mata,” tambah Mbappe.
“Tetapi kami juga tahu cara bermain secara agresif. Dan itulah yang kami lakukan hari ini; kami menang, malah dalam hal itu juga kami lebih baik berbanding mereka.”
Perancis akan menentang Maghribi di suku akhir di Foxborough, berhampiran Boston pada Khamis, sekali gus mengulangi pertemuan separuh akhir Piala Dunia 2022 yang dimenangi Perancis.
Maghribi Tamatkan Impian Kanada
Maghribi lebih awal semalam turut melayakkan diri ke pusingan suku akhir selepas menamatkan kempen tuan rumah bersama, Kanada dengan kemenangan yakin 3-0 di Houston.
Dua gol Azzedine Ounahi serta satu jaringan ketika waktu kecederaan menerusi Soufiane Rahimi memeteraikan kemenangan Maghribi di NRG Stadium.
Juara Afrika itu, yang sebelum ini tampil cemerlang menyingkirkan Belanda di pusingan 32 terbaik, terpaksa berjuang keras untuk menewaskan Kanada yang mendominasi tempoh awal perlawanan.
Namun Maghribi berjaya membuat kejutan sejurus selepas separuh masa apabila Ounahi melepaskan sepakan deras dari luar kawasan penalti.
Ounahi memastikan kemenangan Maghribi lapan minit sebelum tamat perlawanan menerusi gol keduanya, sebelum jaringan lewat Rahimi menerusi serangan balas turut menamatkan harapan Kanada meneruskan kempen di kejohanan ini.
“Kami sangat gembira,” kata jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi.
“Ini perlawanan Piala Dunia dan ia sukar kerana kedua-dua pasukan bermain bagi mempertahankan kelangsungan mereka. Kanada tampil mengagumkan dan bermain dengan baik. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan buat kami, tetapi pada separuh kedua kami berjaya memanfaatkan ruang yang mereka berikan,” katanya.
Maghribi kini menjadi negara Afrika pertama yang melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia secara berturut-turut, membuktikan kedudukan pasukan itu semakin mantap dalam kalangan pasukan bola sepak dunia.
“Kami bukan lagi kejutan pada hari ini dan itu adalah sesuatu yang membanggakan,” kata Ouahbi.
“Saya percaya ini baru permulaan dan saya berharap kami dapat terus mengekalkan pencapaian seperti ini untuk bertahun-tahun akan datang.”
Jurulatih Kanada, Jesse Marsch pula berkata beliau percaya pasukannya bermain lebih baik, namun gagal memanfaatkan peluang yang ada.
“Kami adalah pasukan yang lebih baik,” kata Marsch.
“Cuma mereka mempunyai sedikit kelebihan dari segi kualiti di kawasan pertahanan lawan, sementara kami tidak mampu membuat keputusan tepat ketika diperlukan.”
Perlawanan-perlawanan semalam menandakan permulaan pusingan 16 terbaik ketika kejohanan ini memasuki fasa akhir.
Hari ini, England akan menentang Mexico di Estadio Azteca dalam satu perlawanan yang dinanti-nantikan, manakala Brazil akan berdepan Norway di East Rutherford, New Jersey.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.