
Pengundi muda kekal menjadi cabaran terbesar PAS ketika parti itu berusaha memperluaskan sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, walaupun parti berkenaan telah mencapai kemajuan yang ketara dalam memperluaskan pengaruhnya di luar kubu tradisi, usaha meraih sokongan golongan muda masih menjadi keutamaan.
“Kira-kira 40 peratus daripada pengundi adalah golongan muda. Inilah cabaran kita,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional.
Beliau mendakwa sentimen rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda, kini semakin positif terhadap hasrat melihat PAS memainkan peranan di peringkat persekutuan.
PAS kini lebih berpengalaman letak calon luar negeri asal
Tuan Ibrahim berkata, PAS kini juga lebih berpengalaman dalam meletakkan calon di luar negeri asal mereka, dengan pemilihan calon dibuat berdasarkan strategi keseluruhan parti dan bukannya faktor asal negeri.
“Bukan mudah untuk meletakkan calon luar di sesuatu kawasan. Sebab itu kepimpinan negeri akan menilai keperluan setiap negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Kita pernah melakukannya di Kelantan dan Pahang dengan menukar calon, dan kini parti sudah tahu bagaimana untuk menempatkan calon di luar negeri asal mereka,” katanya.
Parti gerak kepakaran dan jentera ke negeri lain
Beliau berkata, PAS juga mampu menggerakkan kepakaran serta jentera parti ke negeri-negeri lain bagi memperkukuhkan kempen.
“Kita memperkukuhkan agenda parti dengan meletakkan orang yang tepat di tempat yang sesuai. Ini termasuk berkongsi kepakaran dan menggerakkan jentera parti ke mana sahaja ia diperlukan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.