
Sebahagian besar pimpinan PAS tidak dapat menghadiri pengebumian Hasmah Mohd Ali pada 28 September lalu kerana mempunyai program tertentu di dalam dan luar negara, jelas Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu berkata, pihaknya bagaimanapun merakamkan ucapan takziah secara langsung kepada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, dan keluarga.
Menurut beliau, ketidakhadiran itu bukan bermakna PAS sengaja tidak hadir ke upacara pengebumian di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kulliyyah ‘Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Gombak pada Sabtu.
Program tidak boleh dielakkan
Tuan Ibrahim berkata, pada hari Hasmah meninggal dunia, sebahagian besar pimpinan PAS memang mempunyai program tertentu.
“Kebetulan pada hari beliau meninggal dunia, memang kita akui bahawa sebahagian besar pimpinan PAS mempunyai program tertentu.
“Contohnya, saya sendiri terlibat dalam program di Kelantan, begitu juga Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, dan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah.
“Oleh itu, ketidakhadiran itu memang disebabkan ada program yang tidak boleh dielakkan. Bagaimanapun, PAS hadir dengan menghantar Ketua Dewan Muslimat dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Shahidan Kassim, selain menyertai tahlil di rumah Dr Mahathir,” katanya.
Kematian mengejut, jenazah perlu disegerakan
Tuan Ibrahim berpendapat, kematian sememangnya perkara yang mengejut dan pengebumian mesti disegerakan tanpa perlu menunggu sesiapa.
“Kadang-kadang kematian ayah, tetapi anak tidak sempat sampai pun kerana kematian itu mengejut. Kita tidak boleh tunggu lama-lama, sebab apabila meninggal dunia, jenazah perlu dikebumikan segera.
“Siapa sempat, sempatlah. Tetapi bukan bermakna kita sengaja tidak hadir. Bagi pihak parti, kami sudah merakamkan takziah kepada Dr Mahathir.
“Mudah-mudahan beliau bersabar dengan apa yang berlaku. Apa yang penting, kita doakan roh Allahyarham Hasmah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang soleh, insya-Allah,” katanya.
Pemergian Hasmah pada usia 100 tahun
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi.
Berita duka pemergian tokoh berusia 100 tahun itu disahkan anaknya, Mokhzani Mahathir.
Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan berkahwin dengan Mahathir pada 5 Ogos 1956.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.