
Penganalisis politik berkata kehandalan politik PAS terbukti apabila parti itu memperbaharui pakatannya dengan Umno, selepas menamatkan kerjasama dengan Bersatu, sekutu utamanya hampir setengah dekad.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata PAS yang semakin menonjol beberapa tahun kebelakangan ini kini dilihat mahu menguasai gelanggang politik, khasnya segmen pengundi Melayu-Islam.
Namun begitu, beliau berpendapat parti yang diterajui Hadi Awang sejak 2002 itu sedar ia belum mencapai tahap penguasaan sedemikian, lantas memerlukan pakatan dengan Umno.
“Saya fikir PAS hanya bijak dan cekap berpolitik. Bijak dalam erti kata ia tahu belum tiba masanya untuk mengambil alih atau cuba mencapai kepimpinan menyeluruh politik Melayu-Islam. Ia masih perlu menunggu gilirannya.
“Tetapi, seperti yang kita lihat sepanjang tahun lalu, apabila PAS merasakan tiba masanya mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional, ia tidak teragak-agak menyingkirkan Muhyiddin Yassin dan Bersatu untuk mengambil alih peranan sebagai pengerusi PN.
“Begitu juga, saya berpendapat PAS merasakan belum tiba masanya untuk menuntut sebagai peneraju keseluruhan politik Melayu-Islam. Itu sebabnya ia bekerjasama dengan Umno,” katanya kepada FMT.
Sebaliknya, Oh berkata PAS menunjukkan fleksibilitinya dalam menghidupkan semula hubungan dengan Umno, walaupun dua pakatan antara dua parti Melayu-Islam terbesar itu pernah gagal sebelum ini, termasuk Muafakat Nasional.
“Mengapa tidak satu lagi pakatan? Dan jika mereka berpisah sekali lagi, tiada dendam, seperti yang PAS katakan kepada Muhyiddin. Kini, kita perlu menganggap semuanya mungkin dalam politik.”
Kekuatan PAS terus meningkat
PAS berkembang daripada 18 kerusi di Dewan Rakyat pada 2018 kepada 43 kerusi ketika ini, jumlah kerusi paling banyak dalam kalangan semua parti politik, menunjukkan sokongan diraihnya semakin meningkat, khasnya di kawasan teras Melayu.
Parti Islam itu terus mengukuhkan kedudukannya dari semasa ke semasa, khasnya di pantai timur dan utara Semenanjung. Ia kini menerajui kerajaan Kedah, Kelantan serta Terengganu.
Dalam enam pilihan raya negeri pada 2023, PAS berjaya menembusi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, pencapaian yang menurut pemerhati sebagai bukti pengaruhnya semakin meningkat di peringkat nasional.
Awal bulan lalu, PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu selepas pergolakan berbulan-bulan antara dua pengasas bersama Perikatan Nasional itu, walaupun kedua-dua parti terbabit kekal sebagai parti komponen dalam gabungan pembangkang berkenaan.
PN yang diterajui PAS dan Barisan Nasional turut mencapai pakatan rasmi untuk pilihan raya negeri Negeri Sembilan, dengan kedua-dua gabungan bersetuju tidak bertembung di 36 kerusi yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, PAS terbabit dalam pelbagai pakatan sebelum ini, termasuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dari 2008 hingga 2015.
PAS belum mampu memimpin di luar kubu asal
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara melihat pakatan baharu PAS dan Umno sebagai bukti kekuatan parti Islam itu kekal terikat kepada kubu asalnya, khasnya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, PAS sedar ia tidak boleh bergerak solo ketika ini dan memerlukan pakatan dengan parti lain, khasnya dalam usaha meningkatkan sokongan bukan Melayu yang dimilikinya.
“Satu perkara yang pasti, PAS tidak boleh memimpin di luar empat negeri yang ditadbirnya, dan negeri berkenaan tidak mempunyai banyak kelebihan untuk dibanggakan berbanding negeri lain yang ditadbir Umno atau Pakatan Harapan. Lebih-lebih lagi di peringkat nasional.
“Jadi, PAS sekarang melihat Barisan Nasional sebagai pilihan terbaiknya memandangkan Bersatu berdepan masalah dalaman yang menjejaskan PN.”
Oh berkata pakatan berasaskan kepentingan akan kekal menjadi tunjang politik Malaysia, memandangkan landskap politik semakin berpecah, yang mungkin terus menyaksikan Parlimen tergantung berlaku selepas pilihan raya umum.
“Saya berpendapat tidak patut menyimpan dendam dalam apa jua cara sekiranya parti politik atau gabungan yang dahulunya seteru politik bekerjasama sebelum atau selepas pilihan raya, dan berpisah sebelum pilihan raya,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.