
Kerajaan Terengganu memperincikan kejayaan model pelancongan patuh syariah di negeri itu bagi memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan garis panduan moral sebagai penghalang kemasukan pelancong ke negara ini.
Razali Idris berkata, kenyataan yang mengaitkan ketiadaan festival hiburan bebas dengan kemerosotan jumlah pelancong adalah naratif yang kurang tepat dan tersasar daripada fakta.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu, trend pelancongan global kini semakin beralih kepada segmen lebih khusus termasuk pelancongan mesra Muslim yang berkembang pesat.
Terengganu dijadikan contoh pelancongan mesra Muslim
“Terengganu adalah bukti jelas bahawa pendekatan patuh syariah bukan penghalang, sebaliknya ia adalah pemangkin unik yang menarik minat orang luar.
“Data tidak menipu. Pada tahun 2024 sahaja, kita sudah melepasi sasaran dengan kehadiran 7.8 juta pelawat. Malah bagi tiga bulan pertama tahun 2026, trend terus mencanak naik mencecah 2.45 juta pelawat,” katanya menerusi kenyataan di media sosial pada Ahad.
Razali berkata, dakwaan bahawa pelancong hanya akan datang sekiranya terdapat hiburan bebas merupakan satu simplifikasi yang tidak mengambil kira kekuatan aset semula jadi dan budaya yang dimiliki negeri itu.
Beliau turut memberi contoh penganjuran Kapas Marang Swimathon yang tetap menerima penyertaan luar negara yang tinggi walaupun mengekalkan garis panduan pakaian sopan.
Fokus pelancong kini kepada pengalaman dan alam semula jadi
Menurutnya, pelancong masa kini lebih menitikberatkan pengalaman, cabaran dan keindahan alam semula jadi ketika memilih destinasi percutian.
“Fokus pelancong hari ini adalah pengalaman, cabaran dan alam semula jadi. Kita ada Tasik Kenyir, gugusan pulau bertaraf dunia seperti Redang dan Perhentian, serta keunikan budaya seperti Karnival Candat Sotong.
“Semua ini inklusif. Walaupun kita tekankan ciri mesra Muslim, namun pintu kita sentiasa terbuka luas buat pelancong bukan Islam untuk menikmati keindahan negeri ini,” katanya.
Teresa Kok dipelawa bercuti di Terengganu
Mengulas perbandingan dengan situasi di Langkawi, Razali berkata isu tersebut wajar dilihat dari sudut kos dan akses, bukannya meletakkan faktor dasar moral sebagai punca utama.
Dalam nada berseloroh, beliau turut mempelawa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk merasai sendiri pengalaman bercuti di negeri itu.
“Sila ‘Mak Cik’ Teresa Kok ‘maghi’ (datang) Terengganu cuti 3 hari 2 malam. InsyaAllah, anda sendiri akan tertarik melihat kemurnian Islam dan keindahan budaya yang kita tawarkan di sini,” katanya.
Terdahulu, Teresa dilaporkan meminta pihak yang membantah penganjuran festival muzik jalanan supaya mengemukakan cadangan alternatif yang lebih membina bagi merangsang ekonomi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, PAS dan Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh antara pihak yang lantang membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival selama tiga hari di Bukit Bintang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.