
Kenyataan bahawa UMNO-BN hampir pasti bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan bukan sesuatu yang mengejutkan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, AMK bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga di lapangan.
“Kesiapsiagaan ini merangkumi kesemua 222 kerusi Parlimen dengan fokus kepada kerusi PKR dan memperkukuh jentera PH di seluruh negara.
“Kita tidak menunggu pilihan raya untuk bekerja, kita sudah pun berada bersama rakyat sejak daripada awal,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
AMK anggap strategi solo BN bukan ancaman
Danish berkata, AMK tidak melihat kenyataan UMNO-BN itu sebagai ancaman, sebaliknya sebagai ruang untuk membuktikan kekuatan sebenar gerakan reformasi.
Menurutnya, strategi bergerak solo tetapi masih memerlukan persefahaman dengan pihak lain menunjukkan BN sedang berdepan dilema dalaman.
“Ini jelas menunjukkan BN mahu dilihat kuat tetapi pada masa sama masih bergantung kepada pihak lain untuk mengelakkan pertembungan.
“Ini mengesahkan BN belum benar-benar yakin,” katanya.
TERAS dilancar perkukuh gerak kerja pilihan raya
Dalam perkembangan sama, Danish berkata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah melancarkan Sistem Pengurusan Pilihan Raya ‘TERAS’ pada Sabtu.
Katanya, TERAS merupakan langkah penting untuk memperkemas gerak kerja pilihan raya supaya kempen lebih tersusun, dipantau secara rapi dan dilaksanakan secara menyeluruh dengan sokongan kecerdasan buatan (AI).
“Ini bukti jelas PKR sedang mempersiapkan jentera di semua peringkat dalam mendepani pilihan raya.
“Kekuatan kita hari ini bersandar kepada prestasi yang terbukti. Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, rakyat melihat sendiri pentadbiran yang berintegriti, pelaburan berterusan dan dasar yang menyentuh kehidupan harian,” katanya.
Dakwa isu Melayu dan Islam tidak terancam
Danish berkata, naratif berkaitan empat perkara yang tidak boleh dikompromi sering diulang BN, namun perkara melibatkan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, hak Melayu dan Bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Menurutnya, semua perkara itu turut dipertahankan oleh pelbagai pihak dalam kerangka negara.
Beliau berkata, tiada istilah Melayu dan Islam terancam dalam kerangka Kerajaan Madani ketika ini kerana sebahagian besar institusi yang menjaga kepentingan orang Melayu turut dianggotai pemimpin UMNO dalam kerajaan.
“Apabila momokan ini terus dimainkan, ia bukan sahaja tidak berasas malah secara tidak langsung memperlihatkan kelemahan dan kegagalan mereka meyakinkan rakyat dengan fakta sebenar,” katanya.
Justeru, beliau berkata AMK tetap yakin dan bersedia menghadapi PRU16 yang disifatkan sebagai medan untuk rakyat memilih antara politik lama yang sarat percaturan atau kepimpinan yang dinilai berdasarkan kerja serta prestasi.