
Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada Jumaat lalu disifatkan tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang serta adat istiadat Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Azizi Mohamad Ali, menegaskan hal tersebut dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa gelaran yang cuba diambil oleh Tunku Nadzaruddin itu tidak berkuat kuasa.
“Dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya telah melepaskan gelaran pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya. Sehubungan itu, tiada lagi penyandang gelaran pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya.
Majlis pemasyhuran diadakan di resort di Melaka
Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dilaporkan telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.
Pemasyhuran itu diisytiharkan oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad, yang mewakili Undang Yang Empat pada majlis berkenaan.
Kerajaan persekutuan kekal iktiraf Tuanku Muhriz
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya menegaskan kerajaan persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Tuanku Muhriz telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Oktober 2009, berikutan kemangkatan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.
Krisis ini bermula pada 19 April lalu apabila Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz, satu tindakan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan persekutuan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.