
Keputusan PAS untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu dinilai sebagai petanda bahawa kedua-dua parti tidak lagi boleh berada di bawah payung Perikatan Nasional (PN) yang sama.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan itu walaupun tidak menggembirakan, namun ia umpama ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar.
“Sudah tentu PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam. Kedudukan PAS dan Bersatu dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya,” katanya menerusi Facebook.
Keputusan berdasarkan penilaian, bukan sentimen
Malam tadi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan partinya memutuskan kerjasama dengan Bersatu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Ketetapan itu diumumkan selepas ia memperakukan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun, berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS.
Fadhli menegaskan keputusan tersebut bukan didorong sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar, iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Perkara yang paling utama bagi PAS ialah penyatuan ummah. Apabila Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengambil sikap menentang kemasukan parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya.
Beliau turut menyebut bahawa sikap Bersatu terhadap krisis di Perlis dan Negeri Sembilan telah menjejaskan moral jentera PAS untuk terus bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.
Samsuri pimpin PN selepas Muhyiddin letak jawatan
Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Dalam perkembangan berkaitan, PAS kini mengemudi PN apabila Naib Presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai pengerusi gabungan itu pada 22 Februari lalu.
Samsuri menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada 1 Januari, berikutan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.