
Pemuda Umno Johor mengecam kepimpinan negeri PKR dan Amanah, menuduh mereka gelabah, gelojoh serta terburu-buru dalam membuat tuntutan kerusi parlimen dan DUN menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Pemuda, Noor Azleen Ambros, berkata kegopohan yang ditunjukkan oleh PKR dan Amanah di Johor amat menghairankan, sedangkan pemimpin parti pemerintah sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu rakyat, bukannya perebutan kuasa.
“Sikap gopoh, tamak dan gelisah yang ditunjukkan oleh pimpinan PKR dan Amanah tidak mencerminkan empati terhadap kehidupan rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran. Pemimpin politik perlu lebih peka terhadap keperluan rakyat, bukannya asyik berpolitik dan berebut kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Noor Azleen turut mengingatkan bahawa prestasi kerajaan sedang diperhatikan rakyat, dan kegopohan PKR serta Amanah menuntut kerusi jelas tidak selari dengan sentimen di peringkat akar umbi.
“Umno Johor tidak akan terjebak dalam politik gelisah seperti ini,” tambahnya.
Terdahulu, PKR Johor mengumumkan hasrat untuk bertanding di tiga kerusi parlimen iaitu Muar, Pagoh dan Mersing. Ketua PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa, berkata Muar yang kini dipegang oleh Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah kerusi yang berpotensi dimenangi PKR.
Sementara itu, Amanah Johor turut menyatakan hasrat untuk bertanding di antara 12 hingga 20 kerusi DUN pada PRN akan datang, dengan alasan tiada rundingan jelas antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di negeri tersebut.
Kini, BN menguasai 40 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor, dengan Umno memegang 33, MCA 4 dan MIC 3. PH pula memiliki 12 kerusi, termasuk 10 daripada DAP serta masing-masing satu kerusi daripada PKR dan Amanah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.