
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan keputusan kerajaan tidak membahas atau mengundi Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal Act, URA) di Dewan Rakyat sidang kali ini sebagai “satu lagi kemenangan rakyat”.
Beliau menegaskan penangguhan itu membuktikan desakan rakyat, NGO dan pelbagai pihak yang tegas membantah URA telah berjaya memberi isyarat kepada kerajaan.
“URA tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu lagi kemenangan kepada rakyat! Teruskan menentang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung PAS merangkap Ketua Whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan, menerima memorandum bantahan daripada pelbagai NGO di hadapan pintu masuk Parlimen.
Takiyuddin menegaskan bahawa PN bersama 68 Ahli Parlimen pembangkang akan menentang URA sepenuhnya.
“Jangan terpedaya dengan penampilan rang undang-undang ini seolah-olah kecil. Kesan sebenarnya menyeluruh terhadap kehidupan rakyat dan kedaulatan negeri,” katanya.
Beliau menambah bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan juga telah menulis surat kepada Menteri Nga Kor Ming agar menangguh atau menarik balik bil ini, tetapi tidak diendahkan.
Menurutnya, URA bukan sahaja mencabar kuasa negeri, malah menjejaskan kuasa Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong.
Takiyuddin berkata, walaupun kerajaan mendakwa URA disokong oleh beberapa negeri, tetapi empat negeri SG4, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, jelas menolaknya.
“Bagaimana dengan negeri pimpinan Umno seperti Pahang, Perak, Melaka dan Johor? Adakah mereka mahu berdiam diri dan tidak menentang akta zalim ini?” soalnya.
Beliau menutup kenyataannya dengan menegaskan URA bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Hakmilik Strata 1985.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.