
Gegaran gempa bumi lemah sekali lagi direkodkan di Segamat pagi ini, susulan kejadian gegaran yang berlaku pada Khamis lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan gempa bermagnitud 3.4 itu berlaku pada jam 4.24 pagi.
“Pusat gegaran berada pada koordinat 2.7 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur pada kedalaman 10 kilometer,” menurut kenyataan itu.
Kejadian berpusat kira-kira 22 kilometer di timur laut Segamat dan gegaran turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor. MetMalaysia menegaskan pihaknya akan terus memantau keadaan berkenaan daripada semasa ke semasa.
Pada Khamis, Segamat merekodkan gegaran lemah bermagnitud 2.5 yang berlaku pada jam 7.56 malam, dengan laporan bahawa gegaran turut dirasakan di beberapa kawasan di negeri itu.
Terdahulu, pada 24 Ogos, MetMalaysia mengesahkan satu gempa lemah direkodkan di Segamat pada jam 6.13 pagi dengan magnitud 4.1. Ia kemudian disusuli gegaran kedua pada jam 9 pagi di Yong Peng — kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang — dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer.