
Penduduk Malaysia dianggarkan mencecah 34.4 juta orang pada 2026, meningkat sedikit berbanding 34.2 juta tahun lalu, manakala 12 negeri kini mencapai status populasi menua.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata jumlah penduduk negara meningkat 0.5%, manakala bilangan warganegara bertambah daripada 30.8 juta pada 2025 kepada 31 juta tahun ini.
“Penduduk bukan warganegara terus mencatatkan penurunan dengan kadar pertumbuhan negatif 0.2% pada 2026, selepas menguncup 0.5% pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kalangan warganegara, Bumiputera merangkumi 70.7% daripada jumlah penduduk, diikuti Cina (22.0%), India (6.5%) dan lain-lain (0.8%).
Jumlah penduduk lelaki meningkat kepada 18 juta daripada 17.9 juta, manakala penduduk wanita bertambah kepada 16.4 juta daripada 16.3 juta. Nisbah jantina kekal pada 110 lelaki bagi setiap 100 wanita.
Perlis dan Putrajaya merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki, manakala Kuala Lumpur merekodkan nisbah tertinggi iaitu 117 lelaki bagi setiap 100 wanita.
Terengganu catat pertumbuhan penduduk terpantas
Di peringkat negeri, Terengganu mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk terpantas sebanyak 1.2%, diikuti Kelantan (1.0%), manakala Selangor, Pahang dan Putrajaya masing-masing merekodkan pertumbuhan 0.6%, iaitu melebihi atau menyamai purata kebangsaan.
Selangor kekal sebagai negeri paling ramai penduduk dengan menyumbang 21.7% daripada jumlah penduduk negara, diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (11.0%). Labuan dan Putrajaya pula mencatatkan bahagian penduduk paling kecil masing-masing 0.3% dan 0.4%.
Perak rekod peratusan tertinggi warga emas
Jabatan itu turut berkata 12 negeri kini telah mencapai status negeri menua, dengan Perak terus merekodkan peratusan tertinggi penduduk berusia 65 tahun ke atas, iaitu 10.8%.
“Sebuah negeri diklasifikasikan sebagai negeri menua apabila komposisi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi 7% daripada keseluruhan penduduk negeri itu,” katanya.
Selepas Perak, negeri dengan peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas tertinggi ialah Sarawak dan Kedah (9.7%), Pulau Pinang dan Perlis (8.8%), Selangor (8.7%), Negeri Sembilan (8.6%), Johor (8.1%), Kelantan (7.8%), Melaka (7.6%), Pahang (7.5%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7.4%).
Peratusan kanak-kanak menurun, warga emas meningkat
Di peringkat kebangsaan, peratusan kanak-kanak berumur bawah 15 tahun menurun daripada 21.6% pada 2025 kepada 21.2% tahun ini, manakala penduduk berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 8.0% kepada 8.4%.
Sementara itu, peratusan penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15 hingga 64 tahun kekal tidak berubah pada 70.4%.
Jabatan itu berkata Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun, iaitu 31.4%, manakala Kuala Lumpur mempunyai peratusan tertinggi penduduk dalam kumpulan umur bekerja, iaitu 76%.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.