
( IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.)
Petronas akan mengadakan rundingan dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan bahan api untuk memastikan keperluan tenaga rakyat di negara ini terus mencukupi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, situasi semasa menyaksikan banyak negara Eropah dan Amerika yang sebelum ini mengenakan sekatan terhadap Rusia kini beralih kepada usaha mendapatkan bekalan minyak dari negara berkenaan.
“Nasib baik hubungan kita dengan Rusia masih baik. Jadi pasukan Petronas boleh berunding dengan Rusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.
Rundingan Petronas dengan Rusia
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan pendekatan diplomasi awal kerajaan telah membolehkan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz.
Menurut beliau, langkah tersebut berjaya mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara dalam keadaan ketidaktentuan global.
Kesan ketegangan geopolitik
Beliau berkata, ketegangan geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan negara Eropah memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang penting kepada negara.
“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah selamat tiba di Pengerang. Penghantaran ke Pengerang penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan tersebut adalah hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran yang membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa berkaitan masa depan Selat Hormuz masih belum mencapai penyelesaian.
Keutamaan bekalan untuk domestik
Bagaimanapun, Anwar memaklumkan masih terdapat beberapa kapal negara yang berdepan masalah seperti kelewatan dan kerosakan, namun usaha sedang dijalankan untuk menanganinya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata krisis global berkenaan turut mendorong negara lain mendapatkan kerjasama Malaysia, termasuk Perdana Menteri Australia Anthony Albanese yang mengadakan lawatan ke negara ini baru-baru ini bagi membincangkan bekalan petrol, diesel dan baja.
“Keutamaan kita tetap kepada keperluan domestik. Jika ada lebihan, kita bantu negara sahabat. Jika tidak, kita fokus kepada rakyat kita dahulu,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.