
Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu menegaskan pasukannya bukan sekadar penonton pasif apabila berdepan Brazil dalam pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Houston, Isnin ini, walaupun mengakui lawan mereka antara pasukan terbaik dunia ketika ini.
Moriyasu mengingatkan semua pihak bahawa Jepun pernah menewaskan Brazil 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Tokyo Oktober tahun lalu, sekali gus menjadi kemenangan pertama mereka ke atas juara dunia lima kali itu.
“Kami sudah buktikan kepada Brazil sebelum ini bahawa kami bukan pasukan yang mudah ditewaskan. Brazil antara pasukan terbaik dunia dan kami menghormati mereka, tetapi dalam perlawanan nanti, apa sahaja boleh berlaku. Kami juga mempunyai peluang untuk menang,” katanya.
Jepun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas seri 1-1 dengan Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F, menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan di belakang Belanda. Daizen Maeda membuka jaringan untuk Jepun sebelum Sweden menyamakan kedudukan, namun Moriyasu memilih pendekatan defensif selepas itu bagi memastikan satu mata yang mencukupi untuk mara.
Belanda juara Kumpulan F, beri amaran awal kepada Maghribi
Belanda pula menamatkan peringkat kumpulan dengan cemerlang menerusi kemenangan 3-1 ke atas Tunisia, sekali gus mengesahkan status juara Kumpulan F dengan tujuh mata dan 10 gol.
Namun Pengendali Belanda, Ronald Koeman enggan mendabik dada, sebaliknya memberi amaran bahawa Maghribi bakal menjadi cabaran serius di pusingan 32 terbaik di Monterrey, Mexico.
“Saya tidak pasti sama ada kami pasukan pilihan menentang Maghribi. Mereka pasukan yang sangat baik, berkualiti tinggi dan mampu menjaringkan gol dengan mudah,” kata Koeman.
Ecuador mengejut, Turkiye, Australia dan Ivory Coast turut layak
Ecuador muncul sebagai pasukan mengejut apabila menewaskan Jerman 2-1 untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik. Nilson Angulo menyamakan kedudukan sebelum Gonzalo Plata menjaringkan gol kemenangan 13 minit sebelum masa tamat, membalikkan defisit selepas Leroy Sane membuka jaringan awal bagi Jerman.
Australia turut mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas bermain tanpa jaringan menentang Paraguay dalam aksi terakhir Kumpulan D, manakala Turkiye mengakhiri kempen mereka dengan bergaya menerusi kemenangan dramatik 3-2 ke atas Amerika Syarikat melalui gol saat akhir Kaan Ayhan.
Ivory Coast pula melakar sejarah apabila menewaskan Curacao 2-0, mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama. Penyerang berpengalaman Nicolas Pepe menjadi wira dengan dua jaringan, membantu The Elephants menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan E dengan enam mata, di belakang Jerman.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.