
Sebarang keputusan untuk mencadangkan pertuduhan di mahkamah adalah hak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ditentukan oleh Peguam Negara berdasarkan penilaian terhadap kertas siasatan.
Perkara itu dinyatakan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan hadir bagi menyambung proses memberi keterangan pada hari ketiga kepada SPRM.
Siasatan berkaitan pelaburan Arm Holdings
Siasatan itu berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings dari United Kingdom.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu berhubung siasatan urus niaga pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor Britain itu.
Menurut beliau, SPRM kini berada pada peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan daripada 22 saksi termasuk Rafizi dan penganalisis politik, James Chai.
Tiada soalan mengenai transaksi kewangan
Mengulas lanjut, Rafizi berkata siasatan yang dijalankan terhadapnya setakat ini hanya tertumpu kepada aspek prosedur dan keputusan usaha sama dalam pelaburan bernilai RM1.1 bilion itu.
Beliau berkata sepanjang sesi rakaman keterangan, tiada soalan dikemukakan berkaitan aliran wang atau bayaran seperti didakwa sebelum ini.
“Tidak ada soalan mengenai transaksi kewangan. Setakat ini, tiada soalan yang bersabit mengenai transaksi.
“Semua soalan berkaitan keputusan usaha sama dan prosedur,” katanya.
Rafizi hadir ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 1.50 tengah hari bagi meneruskan proses rakaman keterangan.
Siasatan dijalankan bawah Akta SPRM
Sabtu lalu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Hafaz Nazar mengesahkan Rafizi dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.
Dalam kenyataan berasingan, Mohd Hafaz berkata kehadiran Rafizi adalah bagi memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.