
Rafizi Ramli menegaskan bahawa mereka yang memilih untuk kekal atau meninggalkan PKR selepas beliau keluar parti dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia tidak sepatutnya bermusuhan antara satu sama lain.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, beliau masih mempunyai ramai rakan dalam parti lama tersebut dan tidak akan terasa hati sekiranya mereka memilih untuk kekal bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
Menurutnya, setiap individu mempunyai alasan tersendiri untuk menyertai, kekal, atau meninggalkan sesebuah parti politik.
Rafizi turut menegaskan bahawa beliau dan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, tidak mahu penghijrahan mereka ke Bersama dijadikan alat tolak-ansur, di mana individu yang tidak bersama mereka terus dianggap musuh.
“Saya rasa itu membezakan kami daripada kartel Azmin Ali dulu dalam PKR, di mana ‘anda sama ada bersama kami atau menentang kami’,” katanya dalam audio siar ‘Lebih Masa’ yang dihoskan Nik Nazmi.
Sebagai rujukan, Azmin dan 10 Ahli Parlimen lain meninggalkan PKR pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan PH.
Rafizi bagaimanapun berkata, mereka yang memilih untuk terus bersama PKR wajar merenung kembali sebab berbuat demikian, sambil menjelaskan bahawa beliau keluar parti kerana PKR bukan lagi parti yang disertainya dahulu.
PH masih mampu menang 80 hingga 90 kerusi walaupun lemah
Rafizi berkata, PH masih berpotensi memenangi 80 hingga 90 kerusi Parlimen walaupun dalam keadaan paling lemah, hasil sokongan pengundi berfikiran progresif yang dianggarkannya sekitar 35 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pengundi dalam negara ini.
Menurutnya, kumpulan pengundi itu mengundi berdasarkan sikap progresif yang lebih luas dan mungkin terus menyokong PH sekiranya tiada pilihan yang lebih baik.
Bekas menteri ekonomi itu bagaimanapun mengingatkan bahawa sokongan mereka tidak patut disalah tafsir sebagai kesetiaan kepada seorang pemimpin semata-mata.
“Bukanlah sebab Anwar Ibrahim itu hebat, Mat Sabu pandai berceramah. Tak ada kena-mengena dengan saya pun kerana memang aliran politik dalam masyarakat kita ada kira-kira 35% hingga 40% yang berfikiran progresif,” katanya.
Bersama bidik pengundi muda dan progresif sebagai asas baharu
Rafizi menyatakan bahawa matlamat Bersama adalah untuk memberi pilihan baharu di peti undi kepada kumpulan pengundi progresif dan pengundi muda.
Beliau mengakui Bersama mungkin mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun parti itu mampu mencetuskan gelombang yang lebih besar dalam pilihan raya berikutnya, sekiranya terus berpegang kepada matlamat asal dan membina sokongan berasaskan idea, kredibiliti, serta kejujuran.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.