
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Reezal Merican Naina Merican menegaskan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya dipersalahkan berhubung isu kontroversi yang membabitkan Tabung Haji (TH).
Sebaliknya kata beliau, akauntabiliti perlu dituntut daripada pihak yang sememangnya bertanggungjawab terhadap salah urus institusi tersebut.
Reezal berkata, walaupun ada pihak yang cuba mengaitkan isu ini dengan Umno dan BN, ia sebenarnya tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab ke atas parti dan gabungan itu atas kegagalan yang berlaku.
“Bekas pengerusi TH, Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri telah menyatakan bahawa beliau bersedia berdepan siasatan jika diperlukan,” katanya ketika ditemui di luar program pengagihan Jalur Gemilang di kawasan parlimennya, hari ini.
Laporan RCI dedah kerugian tersembunyi TH
Laporan setebal 252 muka surat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasi serta didedahkan kepada umum Rabu lalu.
RCI mendapati, antara lain, TH telah menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun. Institusi itu melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi 2017, sedangkan berdasarkan piawaian perakaunan yang betul, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, satu perbezaan sehingga hampir RM4.8 bilion.
Reezal berkata isu TH ini perlu dikendalikan dengan berhati-hati kerana ia melibatkan 9.7 juta pendeposit. Daripada jumlah itu, 53 peratus antaranya mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 sahaja.
“Laporan RCI itu jelas, terdapat pihak yang perlu dipertanggungjawabkan. Ada pihak yang perlu menjawab berhubung penemuan laporan tersebut,” katanya.
Nafi Umno lindungi individu terlibat rasuah
Reezal turut menolak dakwaan bahawa Umno mengamalkan rasuah atau melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam amalan tersebut. Beliau berkata, parti itu sebenarnya telah mengambil tindakan terhadap pemimpin yang dikaitkan dengan salah laku, termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris yang pernah dipenjarakan.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan terhadap Umno dan BN seolah-olah memberi gambaran bahawa semua ahli parti itu terlibat dalam amalan rasuah. Ini disifatkan sebagai sesuatu yang tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila isu tersebut turut membabitkan Tabung Haji.
“Saya bimbang perkara ini akan menjejaskan keyakinan pendeposit dan memberi kesan negatif terhadap persepsi awam. Isu ini perlu diselesaikan dan tindakan perlu diambil, tetapi pada masa yang sama ia perlu dikendalikan dengan kebijaksanaan bagi memastikan ia tidak menyebabkan kerugian kepada semua pihak,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.