
Dakwaan kerajaan Negeri Sembilan tidak stabil dipercayai sebahagian daripada usaha pihak tertentu untuk membentuk persepsi negatif. Ia juga bertujuan melaga-lagakan Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).
Begitu menurut Adun Lenggeng Asna Amin. Beliau menegaskan persefahaman antara kedua-dua gabungan itu kekal kukuh dan tidak melibatkan sebarang perebutan jawatan menteri besar atau kuota ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).
Asna menjelaskan kerjasama itu bukan gabungan politik rasmi. Sebaliknya ia berasaskan persefahaman jelas bahawa BN akan mengetuai kerajaan negeri termasuk mencadangkan calon menteri besar.
“PN tidak campur tangan dalam pemilihan menteri besar dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada BN.
“Tiada juga perbincangan atau tuntutan mengenai jumlah jawatan Exco yang perlu diberikan kepada PN. Apa sahaja yang diputuskan dan ditawarkan BN akan diterima.
“Dakwaan ketidakstabilan kerajaan dipercayai sebahagian usaha pihak tertentu untuk membentuk persepsi negatif serta melaga-lagakan BN dan PN,” katanya dalam kenyataan.
BN dan PN membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas menang 25 kerusi pada PRN Sabtu lalu. Ia sekali gus menamatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sejak 2018.
Adun Juasseh Ismail Lassim mengangkat sumpah sebagai menteri besar.
Kerajaan perlukan pasukan lebih besar
Mengulas kemungkinan pewujudan jawatan timbalan Exco, Asna menolak tanggapan langkah itu bertujuan memperbanyakkan jawatan politik atau mencerminkan kelemahan kerajaan.
Sebaliknya, beliau berpandangan kerajaan memerlukan pasukan lebih besar, cekap dan berkemampuan. Ini untuk melaksanakan manifesto yang menetapkan sasaran tinggi, termasuk mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan untuk golongan muda.
“Kalau kita mahu membina bangunan 10 tingkat, mungkin 10 orang mencukupi. Tetapi kalau mahu membina bangunan 100 tingkat, sudah tentu kita memerlukan pasukan lebih besar.
“Begitu juga dalam dunia korporat. Kalau sasaran kita RM100 juta, kita tidak boleh mengharapkan pasukan terlalu kecil untuk mencapainya.
“Kita perlukan lebih ramai individu kompeten dan mampu menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.