
Barisan Nasional (BN) dijangka mengisi lapan daripada 10 jawatan dalam exco Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar Ismail Lasim. Baki dua jawatan lagi pula akan diperuntukkan kepada Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber, formula pembahagian ini telah dipersetujui oleh kepimpinan kedua-dua gabungan. Ia bertujuan mencerminkan kerjasama antara BN dan PN dalam pembentukan kerajaan negeri, susulan kemenangan mereka pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Kerjasama BN dan PN itu membolehkan mereka memenangi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Sumber turut menolak dakwaan bahawa PN menuntut sejumlah jawatan tertentu dalam pentadbiran itu. “Perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan,” katanya kepada FMT.
Nama bakal exco mula didedah
Menurut sumber tersebut, Adun Palong, Mustapha Nagoor dan Adun Linggi, Mohd Faizal Ramli antara yang bakal mengisi jawatan exco bagi pihak BN. Kedua-dua mereka pernah menganggotai pentadbiran di bawah Aminuddin Harun pada penggal sebelum ini.
“Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias tidak termasuk dalam senarai,” tambah sumber itu.
Bagi pihak PN, Adun Serting, Fairuz Mohd Isa yang juga pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dijangka antara wakil rakyat yang akan dilantik sebagai exco.
Kesemua yang dilantik dijangka mengangkat sumpah esok pagi, di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.
Jawatan speaker dijangka milik BN
Dalam perkembangan berkaitan, jawatan speaker DUN dijangka diisi oleh wakil BN. Sementara itu, jawatan timbalan speaker pula diperuntukkan kepada PN sebagai sebahagian daripada persefahaman antara kedua-dua gabungan.
Sumber memaklumkan, Adun Lenggeng, Asna Amin antara nama yang disebut-sebut untuk dilantik sebagai speaker. Ini kerana beliau pernah menyandang jawatan timbalan speaker sebelum ini.
“Namun, beliau juga berkemungkinan dipertimbangkan untuk mengisi jawatan exco,” kata sumber itu lagi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.