
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa mulai 1 Oktober 2024, kenderaan komersial yang tidak dilengkapi dengan Speed Limitation Device (SLD) tidak akan lulus pemeriksaan kenderaan dan akan dilarang berada di jalan raya.
Beliau menegaskan bahawa meskipun ada bantahan daripada pihak industri berkenaan kos, keselamatan jalan raya perlu diutamakan. “Saya harap semua Ahli Parlimen menyokong pelaksanaan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tiga Fasa Penguatkuasaan:
- Fasa 1 (1 Okt 2024): Semakan fungsi SLD untuk kenderaan selepas 1 Jan 2015.
- Fasa 2 (1 Jan 2026): Aktifkan fungsi SLD dalam ECU bagi kenderaan sebelum 1 Jan 2015.
- Fasa 3 (1 Jul 2026): Pasang semula SLD pada kenderaan yang belum ada, tertakluk kelulusan JPJ.
SLD ialah sistem kawalan laju automatik melalui ECU yang mengehadkan kelajuan tanpa mematikan enjin. Ia diwajibkan bagi kenderaan barang melebihi 3,500kg dan kenderaan penumpang melebihi 5,000kg dengan lebih 8 penumpang.
Loke turut menjawab cadangan tambahan untuk menambah sistem keselamatan lain seperti brek kecemasan automatik (AEB), kawalan kestabilan elektronik (ESC), pemantauan masa nyata dan penggunaan kotak hitam. Perbincangan bersama pihak berkepentingan akan diadakan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.