
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, membayangkan kemungkinan bertanding sebagai calon bebas pada PRU16 akan datang jika keadaan politik semasa terus tidak menentu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan belum membuat keputusan muktamad, dan tumpuannya pada ketika ini adalah memperkukuhkan sokongan akar umbi serta mempererat hubungan terus dengan rakyat di parlimen berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Bersatu itu berkata keputusan hanya akan dibuat selepas menilai keadaan politik semasa yang disifatkannya masih bercelaru dan belum stabil.
Yakin kekuatan peribadi, bukan jenama parti
“Saya yakin dengan kekuatan peribadi serta rekod khidmat kepada rakyat. Saya tak mahu menumpang parti kawan-kawan. Saya nak parti tumpang dengan saya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa landskap politik semasa menunjukkan tiada lagi mana-mana parti yang boleh mendakwa kemenangan hanya berdasarkan jenama semata-mata, menurut laporan Utusan Malaysia.
Sasaran tiga kerusi DUN di bawah Bukit Gantang
Syed Abu Hussin turut menyatakan hasrat untuk meletakkan calon pilihannya sendiri di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Bukit Gantang, iaitu DUN Trong, DUN Changkat Jering, dan DUN Kuala Sepetang, yang disifatkannya sebagai kawasan strategik dalam menentukan kekuatan politik setempat.
“Kali ini saya mahu ada pasukan sendiri. Orang saya mesti ada di ketiga-tiga DUN ini,” katanya.
Pengundi kini lebih matang, nilai prestasi wakil rakyat
Beliau juga berpandangan bahawa kekuatan sebenar seseorang calon tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada parti, sebaliknya kepada khidmat dan penerimaan rakyat.
“Pengundi kini lebih matang dan menilai berdasarkan prestasi serta keberkesanan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.