
Tentera Thailand menuduh Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara apabila pertempuran baharu meletus di sempadan pada pagi Selasa.
Menurut Timbalan Jurucakap Tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon, gangguan dikesan di kawasan Phu Makua yang dikatakan berpunca daripada pihak Kemboja, mengakibatkan tembak-menembak berterusan sehingga subuh.
“Pertempuran turut berlaku di kawasan Sam Taet dan berterusan sehingga jam 5.30 pagi,” katanya.
Beliau mendakwa tentera Kemboja menyerang beberapa lokasi di wilayah Thailand, memaksa Thailand bertindak balas berdasarkan hak mempertahankan diri.
Perkembangan ini berlaku hanya sehari selepas pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bersetuju melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat dalam rundingan damai yang diadakan di Malaysia.
Gencatan senjata itu dijadualkan berkuat kuasa pada tengah malam 29 Julai, namun pertempuran terbaru mencetuskan keraguan terhadap pelaksanaannya.
Sejak konflik bermula minggu lalu, lebih 200,000 orang telah melarikan diri daripada kawasan pertikaian yang mengandungi beberapa kuil kuno.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.