
Donald Trump mengakui beliau sendiri tidak sanggup membayar harga tiket melebihi AS$1,000 untuk menyaksikan aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, sekali gus menambah tekanan terhadap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu harga tiket yang dianggap terlalu mahal.
“Saya tidak tahu mengenai angka itu, tetapi secara jujurnya saya sendiri tidak akan membayarnya,” katanya kepada New York Post.
Kenyataan Presiden Amerika Syarikat itu hadir ketika ahli politik negara tersebut dan kumpulan penyokong antarabangsa terus mengkritik struktur harga tiket Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada mulai Jun depan.
Penyokong anggap harga tiket keterlaluan
Kumpulan Football Supporters Europe sebelum ini menyifatkan harga tiket kejohanan tersebut sebagai “pengkhianatan besar-besaran” terhadap penyokong bola sepak.
Trump turut menyuarakan kebimbangannya terhadap rakyat berpendapatan rendah di Amerika Syarikat yang mungkin tidak mampu membeli tiket untuk menyaksikan kejohanan berprestij itu.
“Jika penduduk Queens, Brooklyn dan penyokong saya tidak dapat pergi, saya akan kecewa. Tetapi pada masa sama, ia tetap satu kejayaan luar biasa.
“Saya mahu rakyat yang mengundi saya dapat pergi,” katanya.
Trump dakwa berperanan bawa Piala Dunia ke AS
Trump turut mengambil kredit atas kejayaan membawa Piala Dunia ke Amerika Syarikat ketika penggal pertamanya sebagai presiden.
Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino yang sebelum ini mempertahankan pendekatan badan induk bola sepak dunia itu terhadap penjualan tiket.
Infantino berkata, FIFA menerima lebih 500 juta permintaan tiket bagi Piala Dunia 2026 berbanding kurang 50 juta permintaan keseluruhan untuk edisi 2018 dan 2022.
Menurutnya, kira-kira 25 peratus tiket peringkat kumpulan dijual pada harga di bawah AS$300.
Harga final dilapor cecah AS$11,000
Bagaimanapun, kumpulan penyokong terus membandingkan harga tiket kali ini dengan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Harga tiket paling mahal bagi final edisi 2022 dilaporkan sekitar AS$1,600, manakala harga bagi final Piala Dunia 2026 dikatakan mencecah hampir AS$11,000.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.