
Perikatan Nasional (PN) Selangor menegaskan isu penternakan babi di negeri itu tidak wajar dipolemikkan sebagai isu perkauman atau agama sempit kerana ia melibatkan kepentingan alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Mohamed Azmin Ali bersama Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri berkata, penamatan aktiviti penternakan babi di Selangor tidak bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan bekalan daging babi.
Menurut mereka, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri telah mencadangkan supaya bekalan daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri itu.
PN tegaskan tiada diskriminasi
Menurut kenyataan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Selangor, tiada mana-mana pihak didiskriminasikan sekiranya aktiviti penternakan babi dihentikan sepenuhnya di negeri berkenaan.
“Tiada agama, kaum, keturunan atau jantina yang didiskriminasikan sekiranya aktiviti penternakan babi dinoktahkan di Selangor.
“Tiada mana-mana pihak yang menoktahkan bekalan daging babi untuk keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam masa sama, PN Selangor mendakwa terdapat pihak cuba meniup sentimen perkauman dan agama bagi mempolitikkan isu berkenaan.
Titah Sultan Selangor jadi rujukan
Menurut kenyataan itu lagi, pendirian Sultan Selangor supaya aktiviti penternakan babi dihentikan sepenuhnya dibuat berdasarkan faktor pencemaran alam sekitar termasuk risiko terhadap sungai dan kawasan tadahan air.
Mereka berkata, titah baginda turut dizahirkan beberapa kali termasuk ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor pada 20 April lalu.
“Titah Tuanku jelas dan sangat berhemah demi memastikan keharmonian serta keamanan rakyat Selangor terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan negeri turut dipersoal
PN Selangor turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang didakwa gagal mengambil pendirian tegas bagi meredakan polemik berkaitan isu tersebut.
Selain itu, mereka mengkritik kenyataan pihak tertentu yang didakwa memberi gambaran bahawa aktiviti penternakan babi masih boleh diteruskan di Selangor sehingga mencetuskan reaksi rakyat di media sosial.
Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan pihak istana terpaksa mengeluarkan satu lagi kenyataan pada Khamis bagi menegaskan semula pendirian Sultan Selangor supaya aktiviti penternakan babi dihentikan sepenuhnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.