
Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak kena pada caranya, kata Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau mendakwa pemimpin dalam kalangan Pas sendiri yang melanggar Perlembagaan PN, menindas, tidak amanah, melakukan perbuatan khianat, gagal berlaku adil, malah bertindak zalim terhadap rakan gabungan.
Menurut Tun Faisal, apa jua tindakan salah yang dilakukan pemimpin Pas dalam PN tidak sepatutnya disokong oleh Tuan Ibrahim kerana ia jelas melanggar undang-undang dan tidak mengikut ajaran Islam.
“Apa masalah dengan lebai?
“Adakah Timbalan Presiden Pas sedang melindungi kemungkaran, ketidakadilan, penindasan serta mengamalkan Assobiyah?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Tuan Ibrahim gesa Bersatu tarik diri
Sebelum ini, Tuan Ibrahim menyarankan supaya Bersatu menarik diri daripada PN dan bukannya cuba melemahkan gabungan itu menerusi pelbagai tindakan.
Beliau berkata Bersatu tidak sepatutnya cuba membubarkan PN. Pada masa sama, beliau melahirkan rasa sedih terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Lapan ‘dosa’ Pas didakwa
Dalam hantaran sama, Tun Faisal mengulangi senarai lapan ‘dosa’ yang didakwa dilakukan Pas terhadap Bersatu.
Antaranya, beliau mendakwa Pas dipercayai menjadi punca keretakan dalam PN termasuk mencampuri urusan dalaman Bersatu sejak Februari 2025.
Selain itu, katanya, Pas didakwa menyokong pihak yang cuba menjatuhkan ‘imam’ dalam Bersatu dengan cara tidak Islamik. Tindakan itu turut didakwa melanggar Perlembagaan Bersatu, baiah dan sumpah atas nama ALLAH SWT, selain melibatkan pemberian dan penerimaan rasuah untuk akuan berkanun (SD) serta pengetepian Presiden Bersatu.
“Pas ikut ajaran Islamkah apabila menyokong pihak yang cuba menjatuhkan ‘imam’ dengan cara salah, rasuah serta melanggar baiah dan sumpah?
“Mereka membuat fitnah terhadap Bersatu dalam isu Perlis, Negeri Sembilan dan penolakan keahlian Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dalam salah satu Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN,” ujarnya.
Isu Menteri Besar Perlis dipertikai
Tun Faisal turut mendakwa isu pertukaran Menteri Besar Pas di Perlis berpunca daripada kelemahan Menteri Besar Pas dan anaknya. Isu itu berlarutan menjadi isu dalaman pemimpin Pas Perlis serta istana, sebelum diheret masuk ke dalam gabungan.
“Bekas Menteri Besar Perlis daripada Pas merupakan besan kepada Presiden Pas. Ketua Dewan Ulama Pas Perlis dan Mursyidul Am Pas sendiri menolak bahawa Bersatu bersalah dalam soal ini,” jelasnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.