
Pakatan Harapan (PH) tidak melihat pertandingan banyak penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai sesuatu yang merugikan. Sebaliknya, persaingan itu dilihat mampu membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada gabungan tersebut untuk meraih kemenangan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata pertandingan dua penjuru tidak semestinya memberi kelebihan kepada sesebuah parti. Dalam keadaan tertentu, persaingan membabitkan tiga atau empat calon boleh menjadi lebih menguntungkan dari segi strategi pilihan raya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini. Turut hadir, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim.
Ada cabaran, ada juga kelebihan
Menurut Adly, pengalamannya menghadapi pertandingan empat penjuru sebelum ini menunjukkan jumlah calon yang ramai bukan penghalang untuk menang.
“Berdasarkan pengalaman saya menghadapi pertandingan empat penjuru sebelum ini, jumlah calon yang ramai bukanlah penghalang untuk meraih kemenangan, sebaliknya membuka ruang yang boleh dimanfaatkan oleh parti bertanding.
“Sebenarnya kalau kita lihat, memang ada cabaran dan juga kelebihannya dari segi strategi kita. Kadang-kadang pertandingan dua penjuru lebih sukar berbanding dengan pertandingan tiga penjuru,” katanya.
Kerusi ditandingi naik kepada 24
Adly berkata, keputusan PH menambah jumlah kerusi ditandingi daripada 21 kepada 24 dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta potensi gabungan itu untuk menang.
“Jadi, daripada awal 24 (Oktober) kita sudah mengawal 21 kerusi dan kita melihat juga potensi kita ke depan itu, dan akhirnya kita membuat keputusan berdasarkan kawalan kitalah. Kaedah itu juga kita akan lebih berpotensi dari segi memberikan fokus kita untuk kemenangan calon-calon kita,” katanya.
Beliau menegaskan keputusan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan rundingan dengan mana-mana parti politik. Menurutnya, PH membuat penilaian berdasarkan kemampuan sendiri dan perkembangan semasa.
Pastikan proses demokrasi berjalan
Antara prinsip yang turut diberi perhatian, kata Adly, ialah memastikan tiada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi tanpa bertanding. Dengan itu, pengundi dapat melaksanakan hak memilih wakil rakyat melalui proses demokrasi.
“Jadi, contohnya apabila kita perasan BERSATU tak letak calon, itu (dilakukan) tanpa dibincang dengan kita. Jadi, kita masuklah supaya kita pastikan proses demokrasi berjalan seperti sepatutnya. Rakyat mengundi perlu diberi peluang untuk buat pilihan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.