
Bruno Fernandes meledak dua gol untuk membantu Manchester United memulakan siri jelajah Amerika Syarikat dengan kemenangan 2-1 ke atas West Ham dalam kejohanan Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris di New Jersey.
Kapten United itu memanfaatkan dua kesilapan penjaga gol antarabangsa Perancis, Alphonse Areola, untuk memastikan skuad kendalian Ruben Amorim membawa pulang kemenangan dalam cuaca panas terik di Stadium MetLife.
Areola dipersalahkan atas kedua-dua gol United, manakala Jarrod Bowen berjaya merapatkan jurang buat The Hammers.
United membuka jaringan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti Fernandes selepas Areola menjatuhkan Ayden Heaven dalam kotak penalti.
Pada minit ke-52, Fernandes menggandakan kelebihan United dengan penyudah bijak selepas satu lagi kesilapan Areola menghadiahkan bola kepada Kobbie Mainoo. Mainoo kemudian melorongkan bola kepada Fernandes, yang menyempurnakan peluang tersebut dengan sepakan lambung cantik.
West Ham bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-63 menerusi penyudah kemas Bowen. Penyerang England itu turut mencipta satu lagi peluang pada masa kecederaan, namun usahanya digagalkan oleh penjaga gol United, Altay Bayindir.
“Bagus untuk menang, walaupun ia hanya perlawanan persahabatan — kami tetap mahu memenangi setiap perlawanan sebagai persiapan terbaik sebelum musim bermula.
Secara keseluruhan kami bermain dengan baik, terutama ketika menguasai bola. Cuma ada ketika kami terlalu gopoh dan sepatutnya mengawal tempo lebih lama. Itu perkara yang perlu kami perbaiki, tetapi secara keseluruhan ia perlawanan yang sangat bagus buat kami,” kata Fernandes kepada NBC Sports selepas perlawanan.
Pemain baharu United, Bryan Mbeumo, turut menyertai siri jelajah kali ini tetapi tidak tersenarai dalam skuad untuk perlawanan tersebut.
Mbeumo dijangka membuat penampilan sulung apabila United bertemu Bournemouth dalam aksi kedua kejohanan itu di Chicago pada Rabu ini.
Terdahulu, Bournemouth mencatat kemenangan 3-0 ke atas Everton dalam perlawanan pembukaan kejohanan di venue sama.
Gol kemenangan Bournemouth dijaringkan oleh Philip Billing, Dango Outtara dan Daniel Adu-Adjei, sekali gus memberikan kemenangan selesa buat pasukan bimbingan Andoni Iraola.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.