
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi membalas pantun yang digarap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam.
“Bumbung tercabut, mampu ditahan, jika ribut, diterbang ke laut,” kata pengerusi Barisan Nasional (BN) itu pada sidang media di Bahang Bay Hotel, sambil menambah beliau mengarang rangkap pantun berkenaan malam tadi selepas membaca pantun Anwar.
Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung, temui maut.
Bumbung tercabut, mampu ditahan,
Jika ribut, diterbang ke laut.
Pantun Anwar yang dimuat naik dalam hantaran Facebook semalam, kelihatan seperti meredakan ketegangan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di tengah-tengah kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Berbeza langkah, jangan putus kawan, selagi muafakat, kita sehaluan,” kata pengerusi PH itu yang juga presiden PKR.
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan.
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.
Zahid tegaskan komitmen sokong kerajaan
Zahid menegaskan, tidak perlu ada keraguan terhadap komitmen BN menyokong kerajaan pimpinan Anwar sehingga tamat penggal.
Ditanya sama ada wujud sebarang langkah menjatuhkan kerajaan, pengerusi BN itu berkata beliau tiada niat langsung untuk berbuat demikian.
“Tiada Langkah Bangkok ke, tiada Langkah Dubai ke, tak ada.
“Apabila kami komited untuk berada di dalam kerajaan perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.