
Keputusan sama ada seseorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan perlu digugurkan daripada jawatan adalah hak mutlak Perdana Menteri, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tiada keperluan untuk mana-mana menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan sendiri sekiranya Perdana Menteri mempunyai maklumat yang mengesahkan berlaku pelanggaran disiplin dalam kalangan anggota pentadbiran.
“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Jadi, kalau Perdana Menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan tak perlu sesiapa pun meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104, hari ini.
Anwar beri amaran menteri jangan serang rakan sekutu
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
Pelantikan dan pemecatan hak prerogatif PM
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perkara berkaitan pelantikan dan pemecatan adalah hak prerogatif Perdana Menteri.
“Itu prerogatif Perdana Menteri,” katanya ringkas.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.