
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan wujud pertemuan antara kedua-dua gabungan dari Borneo itu dengan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN).
Ketua Whip GPS yang juga Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata gabungan itu tidak pernah dihubungi atau menerima sebarang jemputan daripada mana-mana pihak berkaitan pertemuan tersebut.
“Ya, tiada,” katanya ringkas kepada FMT.
GRS tegaskan tumpuan pada agenda pembangunan
Sementara itu, Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata beliau juga tiada maklumat mengenai pertemuan yang didakwa berlaku hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata keutamaan GRS kini adalah memastikan segala fokus ditumpukan kepada agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Tiada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan, dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian.
Tempoh kerajaan Persekutuan masih berbaki lebih setahun setengah, dan negara juga sedang berdepan impak konflik geopolitik global,” katanya.
Zahid turut nafi dakwaan tular
Pengerusi BN, Zahid Hamidi, yang dipetik Berita Harian, turut menafikan berlakunya pertemuan itu seperti yang tular di media sosial.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut, dan menegaskan BN akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga PRU16.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa keempat-empat parti berkenaan dijangka mengadakan sidang media pada jam 2 petang hari ini, tetapi sumber yang dipetik tidak menyatakan tujuan sidang media itu diadakan.
Bagaimanapun, tiada sidang media berlangsung seperti yang didakwa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.