
Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, mungkin memilih untuk terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun gabungan itu bersama Perikatan Nasional mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kata bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, kemenangan BN-PN dijangka meningkatkan tekanan daripada pemimpin Umno dan PN supaya Zahid menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan, selain berusaha mendapatkan sokongan parti di Sabah dan Sarawak bagi menjatuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berpendapat Zahid tidak akan tergesa-gesa berbuat demikian kerana ketika ini presiden Umno itu berada dalam kedudukan politik yang lebih menguntungkan, dan boleh menggunakan kelebihan tersebut untuk menggambarkan BN sebagai parti yang pragmatik dan profesional.
“Tetapi saya fikir Zahid tidak akan tergesa-gesa mengambil kesempatan daripada situasi ini. Beliau akan mengambil masa. Mengapa perlu terburu-buru sedangkan beliau kini mempunyai Anwar, tepat di kedudukan yang diinginkannya.
“Beliau boleh mengambil pendekatan untuk berkata kepada rakyat bahawa BN tidak akan menarik sokongan kerana menghormati keadaan dunia yang masih bergolak, termasuk krisis di Selat Hormuz, konflik di Timur Tengah atau Asia Barat, serta perkembangan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.
“Pada masa sama, beliau boleh menampilkan BN sebagai gabungan yang pragmatik dan profesional. BN boleh bertanding menentang Pakatan Harapan di peringkat negeri, tetapi pada masa sama beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai timbalan perdana menteri dan memainkan peranan sebagai parti yang bertanggungjawab dalam kerajaan Madani,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.
Landskap politik tidak memihak PH
Terdahulu, hos bersama, Shahril Hamdan, berkata BN-PN dilihat sebagai pilihan utama untuk memenangi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos berdasarkan kekuatan gabungan mereka.
Beliau mempersoalkan sama ada kerjasama itu boleh menjadi pencetus kepada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lebih awal, selain mengapa Anwar kelihatan tenang walaupun pemimpin BN secara terbuka menyerang PH.
Bagaimanapun, Khairy berkata landskap politik semasa tidak memihak kepada PH, terutama apabila Sarawak dan Melaka dijangka mengadakan pilihan raya selepas ini.
“Kerajaan ini sukar untuk bertahan, terutama dengan jangkaan bahawa Sarawak dan Melaka akan menjadi medan pilihan raya seterusnya. Dari sudut pandang PH, keadaannya tidak begitu memberangsangkan.
“Di Sarawak, kita menjangkakan GPS akan mengatasi PH dengan selesa. Di Melaka pula, jika wujud konfigurasi kerjasama BN-PN, ia juga tidak memberi gambaran yang baik kepada PH buat masa ini. Jadi, petandanya sudah jelas.
“Bagaimanapun, saya fikir Zahid Hamidi tidak akan tergesa-gesa mengambil kesempatan daripada situasi ini. Sebaliknya, beliau akan mengambil masa dan bergerak dengan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Bersatu mungkin kembali sertai PH
Sementara itu, Khairy membayangkan Bersatu mungkin kembali bekerjasama dengan PH sekiranya parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Anwar boleh mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, bagi membantu gabungan itu mengekalkan Selangor pada pilihan raya akan datang.
Khairy berkata, Bersatu masih mempunyai beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, khususnya menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berpihak kepada Azmin dan tidak menyertai Parti Wawasan Malaysia pimpinan Hamzah Zainudin susulan konflik dalaman parti itu.
“Sebab di Selangor, Bersatu mungkin masih mempunyai kekuatan melalui pengaruh Azmin Ali, termasuk jenama politik dan sokongan yang dibina beliau.
“Selain itu, terdapat kemungkinan gangguan daripada kemunculan Bersama yang dipimpin Rafizi Ramli, yang boleh memecahkan undi di Selangor. Jadi, kerajaan atau PH perlu mencari jalan untuk mengimbangi keadaan itu, dan salah satu kemungkinan ialah melalui kerjasama dengan Bersatu di bawah Azmin di Selangor,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.