
Cadangan menjenamakan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN) disifatkan masih terlalu awal.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpandangan, keyakinan ahli kedua-dua parti perlu ditingkatkan terlebih dahulu memandangkan kedua-duanya pernah berseteru sebelum ini.
Katanya, cadangan Presiden Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin itu boleh memberi persepsi seolah-olah sudah wujud kerjasama rasmi, sedangkan Pengerusi BN, Zahid Hamidi menjelaskan ia bersifat persefahaman semata-mata pada Pilihan Raya Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
“Objektif utama masa kini sepatutnya meyakinkan penyokong masing-masing mengapa mereka perlu membantu parti yang ditentangnya sebelum ini.
“Pada pandangan saya, tidak perlu tergesa-gesa mencadangkan penjenamaan baharu,” katanya kepada FMT.
Risiko kekeliruan dalam kalangan pengundi
Menurutnya, penggunaan jenama PBN juga boleh menambahkan kekeliruan dalam kalangan pengundi, khususnya sama ada ia menyerupai Muafakat Nasional (MN) yang telah terkubur.
“Kekeliruan seperti ini juga boleh menjejaskan usaha mereka untuk menerangkan bentuk kerjasama yang sedang dijalinkan,” katanya.
BN dan PN membentuk persefahaman pada Pilihan Raya Negeri Sembilan yang menyaksikan tiada pertembungan antara satu sama lain di 36 kerusi.
BN akan bertanding di 25 kerusi manakala parti komponen PN seperti PAS, Wawasan, Gerakan dan MIPP meletakkan calon di 11 DUN.
Gabungan tidak rasmi itu mencabar Pakatan Harapan yang bertanding di semua kerusi, selain Bersatu yang bertanding berasingan di 24 DUN.
PN dilihat sebagai paksi utama
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula tidak menolak kemungkinan penjenamaan itu boleh mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penyokong BN.
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu berkata, kedudukan perkataan “perikatan” di hadapan dan “Barisan Nasional” di belakang boleh menimbulkan persepsi PN sebagai pihak dominan.
“Dari sudut psikologi politik, susunan itu secara tidak langsung menggambarkan PN sebagai paksi utama manakala BN sekadar pelengkap,” katanya.
Menurutnya, Hamzah mungkin berniat merapatkan jurang antara kedua-dua gabungan, namun penerimaan akar umbi BN dan Umno mungkin berbeza.
“Akar umbi BN mungkin melihat cadangan itu sebagai simbol penurunan taraf sebuah jenama yang pernah membentuk kerajaan selama 61 tahun,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.