
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, menyifatkan cadangan supaya beliau wajar diangkat sebagai calon menteri besar Negeri Sembilan sebagai berniat jahat.
Ini kerana, katanya, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri secara jelas menetapkan hanya calon Melayu dan beragama Islam layak dilantik sebagai menteri besar.
“Itu adalah cakap-cakap jahat daripada pihak yang melawan kita. Calon menteri besar Negeri Sembilan amat jelas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, perlu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu yang beragama Islam.
“Saya tidak memenuhi syarat tersebut,” katanya selepas meninjau Projek Kerja Pemulihan dan Naik Taraf Landasan Kereta Api di Stesen Kereta Api Bahau.
Aminuddin calon tunggal PH
Setakat ini, tegasnya, Pakatan Harapan (PH) hanya menyenaraikan Aminuddin Harun sebagai calon tunggal menteri besar, sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk terus mentadbir Negeri Sembilan.
“Calon MB kita hanya seorang sahaja, iaitu Tok Min,” katanya.
Jawab sindiran Asyraf Wajdi
Beliau turut menjawab sindiran Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, semalam yang mempersoalkan siapa calon menteri besar PH sekiranya Aminuddin tewas di Linggi, yang disifatkannya sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Asyraf sebelum ini menyoal siapakah bakal menteri besar bagi PH sekiranya Aminuddin kalah di kubu kuat BN itu, dan turut menyebut nama Anthony Loke dari DAP sebagai persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan mahukan menteri besar daripada DAP.
Menjawab persoalan itu, Loke berkata BN sendiri mempunyai senarai panjang calon layak dipertimbangkan sebagai menteri besar sekiranya gabungan itu menang pada PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, BN memiliki gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu berkelayakan, termasuk yang berpengalaman mentadbir kerajaan negeri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.