
Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh, mempersoalkan mengapa Pakatan Harapan dilihat seolah-olah tidak senang dengan kenyataannya berhubung penyatuan Melayu Islam melibatkan UMNO dan Pas.
Beliau menegaskan perbincangan yang dibangkitkannya hanya menyentuh soal hubungan antara UMNO dan Pas, tanpa melibatkan Pakatan Harapan.
Menurutnya, isu tersebut tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan mana-mana pihak.
Tegaskan tidak sentuh PH
Dalam hantaran di Facebook pada Ahad, Muhamad Akmal menyatakan bahawa beliau tidak menyebut tentang parti dalam Pakatan Harapan ketika membicarakan soal penyatuan Melayu Islam.
Beliau turut mempersoalkan mengapa ada pihak berasa terancam sekiranya orang Melayu dan Islam bersatu.
Tambahnya, usaha menyatupadukan ummah bukan sesuatu yang mudah dan pasti akan berdepan tentangan seperti yang berlaku sejak dahulu lagi.
Beliau turut menyeru supaya pihak yang berbeza pandangan terus berdepan secara terbuka tanpa perlu berasa bimbang.
Respons pemuda PH Melaka
Terdahulu, tiga pemimpin sayap pemuda parti komponen Pakatan Harapan Melaka mempersoalkan keikhlasan serta hala tuju politik Muhamad Akmal.
Dalam kenyataan bersama, Ketua DAPSY Melaka Cassel Krishnan, Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka Hakimin Mokhtar dan Ketua Pemuda Amanah Melaka Ahmad Azri Abdullah menyifatkan beliau sebagai tidak konsisten.
Menurut mereka, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan, namun dilihat terbuka untuk memberi ruang kepada Pas yang berada dalam blok pembangkang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.