Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) disifatkan sebagai pendekatan “Dajjal” pada akhir zaman kerana menjadikan kuasa bukan lagi amanah yang wajib ditunaikan kepada seluruh rakyat. Sebaliknya, ia dijadikan alat untuk memaksa pihak tertentu terus kekal berkuasa.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata pihak yang mengamalkan pendekatan itu mungkin tidak berlagak sebagai tuhan, namun tindakan mereka tetap mencerminkan sifat-sifat Dajjal.
Menurut beliau, antara tanda besar dunia semakin hampir kepada penghujungnya ialah apabila amanah dihilangkan dan munculnya Dajjal yang membawa penipuan serta memaksa manusia mentaatinya.
“Rasulullah SAW turut menyatakan bahawa sebelum kemunculan Dajjal terbesar akan muncul beberapa dajjal kecil di seluruh dunia yang menjadi bala tenteranya,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian menerusi cetusan Minda Presiden Pas yang menyentuh konsep keadilan, amanah pemerintahan dan pelaksanaan CSA.
Apa itu CSA
CSA merupakan persetujuan politik di Parlimen. Melalui perjanjian itu, blok pembangkang atau Ahli Parlimen bebas bersetuju memberikan sokongan bersyarat kepada pihak kerajaan.
Hasil negara hak semua rakyat
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata hasil negara adalah hak seluruh rakyat dan bukan hanya kelompok yang menyokong parti pemerintah.
Menurutnya, hasil yang dikutip menerusi pelbagai bentuk cukai, termasuk barangan, pakaian, makanan, kenderaan dan kediaman, melibatkan seluruh rakyat. Justeru, manfaatnya wajib dikembalikan kepada semua tanpa mengira parti yang diundi.
Katanya, mana-mana parti yang membentuk kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu menunggu sebarang perjanjian atau aku janji terlebih dahulu.
Perumpamaan akad nikah
Beliau turut mengumpamakan tanggungjawab kerajaan seperti seorang lelaki yang bakal menjadi suami. Lelaki itu tidak perlu menandatangani aku janji ketika akad nikah untuk melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah selepas menjadi ketua keluarga.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.