Senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi PRN pada 12 Dis memperlihatkan gabungan itu lebih mengutamakan kestabilan berbanding pembaharuan kepimpinan, dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) menjadi parti paling rugi, menurut dua penganalisis politik.
Jayum Jawan dari Universiti Teknologi Mara berkata ramai calon yang diketengahkan GPS sudah berusia lanjut, termasuk pengerusinya, Abang Johari Openg, yang berusia 76 tahun.
“Ia menunjukkan pemimpin lama tidak bersedia memberi laluan. Penampilan muka baharu sekadar kosmetik dan tidak menyediakan parti masing-masing dengan barisan pelapis kepimpinan,” katanya kepada FMT.
“Sebilangan kecil (11) muka baharu itu masih junior dan mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih untuk meningkat dalam hierarki parti masing-masing.”
Pembaharuan secara terkawal
Bagaimanapun, Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berpandangan GPS mahu melaksanakan pembaharuan kepimpinan secara terkawal dan berperingkat, bukannya secara menyeluruh.
“GPS mahu menang besar, jadi mengekalkan penyandang adalah pilihan paling selamat. Mereka mempunyai jentera di peringkat akar umbi, rekod perkhidmatan dan dikenali penyokong.
“Menggugurkan terlalu ramai calon juga mengundang risiko sabotaj daripada mereka yang tidak dicalonkan semula,” katanya.
Puyok turut berkata peruntukan 47 kerusi kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hampir tidak terusik, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semakin kukuh selepas menerima penyertaan Johnical Rayong Ngipa dan See Chee How.
PDP paling terjejas
Sebaliknya, kedudukan PDP dilihat semakin lemah apabila hanya diperuntukkan enam kerusi berbanding 11 diberikan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS).
PDP terpaksa mempertahankan kerusi tradisi sama seperti pada PRN 2021, meskipun bergabung dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang kini sudah dibubarkan, dua tahun lalu.
Puyok menyifatkan agihan kerusi itu sebagai tamparan jelas kepada presiden PDP, Tiong King Sing. Jayum pula berkata tiada parti dalam GPS sanggup menyerahkan kerusi masing-masing bagi memenuhi tuntutan PDP.
“Jika Tiong mahu lebih banyak kerusi, beliau perlu keluar daripada gabungan, bertanding dan menang lebih banyak kerusi. Selepas itu, partinya akan diterima semula (ke dalam gabungan).
“Itulah satu-satunya cara untuk PDP menambah bilangan kerusinya,” kata Jayum.
Tekanan secara senyap
Kedua-dua penganalisis itu bagaimanapun tidak menjangkakan Tiong akan bertelagah secara terbuka dengan GPS atau Abang Johari.
Jayum berkata sokongan terhadap PDP sebahagian besarnya datang daripada pengundi Iban, manakala semua wakil rakyat parti itu terdiri daripada kaum Dayak kecuali Tiong sendiri.
“Tiong lantang bersuara, tetapi beliau tidaklah seberani itu,” katanya sambil menambah, presiden PDP itu tidak akan mempertaruhkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan menteri persekutuan dengan mencabar GPS.
Puyok pula menjangkakan rasa tidak puas hati itu tidak akan mencetuskan penentangan serius dalam gabungan berkenaan.
“Apa yang lebih mungkin berlaku ialah tekanan secara senyap,” katanya.
Menurutnya, ini mungkin termasuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap SUPP, menuntut lebih banyak jawatan dalam kerajaan selepas pilihan raya atau menggunakan kedudukan PDP di peringkat persekutuan sebagai modal tawar-menawar.
Bagaimanapun, Puyok berkata menarik untuk melihat sama ada akar umbi PDP akan turun membantu calon SUPP di Bawang Assan dan Engkilili.
Di Bawang Assan, penyandang sekian lama, Wong Soon Koh, sudah keluar PDP dan bersara daripada politik, selain menyatakan secara terbuka sokongannya kepada calon GPS.
Di Engkilili pula, penyandangnya, Johnical Rayong Ngipa, meninggalkan PDP untuk menyertai SUPP.
“Di Bawang Assan, ahli PDP yang mahukan calon daripada parti sendiri mungkin memilih untuk tidak membantu kempen.
“Di Engkilili, risikonya rendah kerana pengundi menyokong Rayong berdasarkan ketokohan peribadinya, bukannya atas faktor parti,” kata Puyok.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.