
Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Indonesia sekali lagi meletus pada pagi Isnin, menghamburkan abu sehingga 18 kilometer ke udara, menurut agensi vulkanologi negara itu.
Letusan berlaku pada jam 11:05 pagi waktu tempatan (0305 GMT). Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku aliran lahar—campuran lumpur dan bahan gunung berapi—sekiranya hujan lebat melanda kawasan berhampiran sungai.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau korban jiwa.
Gunung berketinggian 1,584 meter itu telah beberapa kali meletus dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Bulan lalu, letusan menyebabkan puluhan penerbangan ke dan dari Bali dibatalkan serta memaksa pemindahan penduduk dari sebuah kampung.
Pada November tahun lalu, beberapa letusan dari gunung sama telah meragut sembilan nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah serta menjejaskan penerbangan antarabangsa.
Tiada laporan pembatalan penerbangan selepas letusan Isnin ini setakat ini.
Gunung Lewotobi Laki-Laki dinamakan bersempena perkataan “lelaki” dalam bahasa Indonesia, dan terletak bersebelahan Gunung Lewotobi Perempuan yang lebih tinggi dan tenang.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik dan sering mengalami aktiviti gunung berapi serta gempa bumi.