
Bahagian Bersatu Port Dickson sebulat suara meluluskan usul peralihan kepimpinan yang mencadangkan timbalan presiden Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin utama parti.
Bahagian yang dipimpin oleh Badrul Hisham Shaharin mencadangkan usul itu supaya peralihan kepimpinan dilakukan secara tersusun, dengan Hamzah sebagai “pemimpin utama” dan naib presiden Radzi Jidin mengurus hal ehwal pentadbiran parti, yang kini dikendalikan oleh setiausaha agung Azmin Ali.
Usul tersebut dibentangkan oleh timbalan ketua bahagian, Akkil Aizat Othman, semasa mesyuarat agung tahunan semalam. Ia turut mencadangkan agar Muhyiddin diberi peranan sebagai penasihat dan mentor, namun tidak menyatakan secara jelas bahawa Hamzah akan menjadi presiden parti.
Akkil berkata Bersatu gagal memanfaatkan peluang mendekati rakyat semasa kelemahan pentadbiran kerajaan dan menekankan perlunya pembaharuan dalam sistem disiplin serta komunikasi menjelang PRU16.
Menurut Free Malaysia Today (FMT), Badrul mengesahkan usul itu adalah salah satu daripada empat usul yang diluluskan, dengan fokus untuk penyesuaian strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut Akkil, usul itu bukan untuk menolak kepimpinan Muhyiddin, tetapi kerana parti memerlukan kestabilan dan hala tuju yang lebih jelas.
“Kami hormati kebijaksanaan Muhyiddin, tetapi rakyat mahukan parti yang benar-benar memperjuangkan isu mereka,” katanya.
Desas-desus sebelum ini menyatakan terdapat tekanan dalaman agar Hamzah menggantikan Muhyiddin, manakala kumpulan yang menyokong Azmin mahu beliau dikekalkan.
Terdapat juga laporan bahawa PAS mencadangkan penyusunan semula struktur Perikatan Nasional dengan Hamzah mengetuai jawatankuasa eksekutif harian dan presiden parti menjadi majlis penasihat.
Hamzah menafikan dakwaan itu dan menyifatnya ada pihak luar yang mahu memecahbelahkan PN dan Bersatu.
Muhyiddin semalam juga menafikan PAS mahu menggulingkannya sebagai pengerusi PN dan berkata Abdul Hadi Awang secara peribadi menyatakan sokongan agar beliau kekal dalam jawatan itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.