
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menghantar surat kepada pemimpin beberapa negara termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memaklumkan pengenaan tarif baru. Dalam surat bertarikh 7 Julai itu, AS menyatakan bahawa semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif 25% bermula 1 Ogos 2025.
Surat tersebut menyatakan bahawa dasar tarif dan halangan perdagangan bukan tarif Malaysia telah menyebabkan defisit dagangan yang besar kepada AS selama bertahun-tahun.
“Mulai 1 Ogos, AS akan mengenakan tarif 25% ke atas semua produk dari Malaysia, berasingan daripada tarif sektor lain,” menurut surat itu. Barangan yang disalurkan semula bagi mengelak tarif juga akan dikenakan kadar lebih tinggi.
AS menggambarkan kadar ini sebagai sederhana berbanding ketidakseimbangan sebenar, dan menekankan keperluan untuk memulihkan perdagangan adil.
Dalam nada lebih lunak, AS turut menjemput syarikat Malaysia untuk melabur di negara itu, dengan janji kelulusan pantas dan pengecualian tarif jika produk dihasilkan di AS.
Surat itu turut memberi amaran: “Jika Malaysia menaikkan tarifnya, jumlah itu akan ditambah ke atas kadar 25% sedia ada.”
Meskipun nada surat tegas, penutupnya menyatakan komitmen untuk terus menjalin hubungan perdagangan dengan Malaysia secara seimbang dan adil.
CNN melaporkan bahawa surat sama telah dihantar kepada 14 negara, termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Myanmar, Laos, dan lain-lain, dengan kadar tarif sehingga 40%.