Seorang wakil rakyat PAS tampil mempertahankan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berhubung penggunaan istilah ‘dajal’ yang dikatakan bukan merujuk kepada individu yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bersama kerajaan.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, istilah itu sebaliknya merujuk pendekatan dalam CSA yang didakwa meletakkan syarat wakil rakyat perlu memberi sokongan sebelum sesuatu peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen.
Pendekatan CSA yang dimaksudkan
“Jadi, saya nak betulkan apa yang disebut Hulu Langat. Sebenarnya, bukan itu ungkapan yang disebut (oleh Hadi) dan bukan itu maksud sebenar beliau.
“Maksud sebenar ialah pendekatan diambil dalam CSA itu mensyaratkan sokongan terlebih dahulu sebelum peruntukan diberikan. Pendekatan itulah yang dirujuk melalui penggunaan istilah berkenaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat.
Fadhli berkata, amalan mensyaratkan sokongan politik sebelum menyalurkan peruntukan tidak sepatutnya berlaku kerana wang itu merupakan wang rakyat dan perlu diurus sebagai amanah.
Hadi samakan CSA dengan penipuan dajal
Semalam, Hadi mengumpamakan CSA yang ditandatangani kerajaan dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai penipuan dajal atau ‘pembohong paling besar’.
Dalam Islam, kemunculan dajal dianggap sebagai antara tanda besar semakin hampirnya hari kiamat.
Hadi mendakwa, CSA merupakan pendekatan dajal pada akhir zaman kerana kuasa tidak lagi dianggap sebagai amanah yang wajib ditunaikan kepada semua. Sebaliknya, kuasa digunakan untuk memaksa pihak tertentu bagi memastikan kerajaan terus berkuasa.
Katanya, mana-mana parti yang membentuk kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.